NUR Izzati menunjukkan gambar arwah suaminya, Azlan yang maut dalam kemalangan di Jalan Tongkang Pecah. FOTO Alias Abd Rani
NUR Izzati menunjukkan gambar arwah suaminya, Azlan yang maut dalam kemalangan di Jalan Tongkang Pecah. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: "Adik rindu daddy." Itulah ungkapan seorang anak ketika menatap gambar wajah arwah bapanya yang maut dalam kemalangan di Jalan Tongkang Pecah, di sini, pagi semalam.

Luahan daripada Muhammad Rayqal Azlan, 5, sempat didengari ibunya, Nur Izzati Hanapiah, 32, menyebabkan dia sebak dan hanya mampu menitiskan air mata.

Menceritakan perkara itu, Nur Izzati berkata, anak sulungnya itu mengambil gambar arwah bapanya dan mengucapkan kata-kata sedemikian.

Katanya, suaminya, Azlan Azman, 32, meninggal dunia dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 pagi ketika arwah dari Sri Medan menunggang motosikal jenis Yamaha Nmax, dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Sri Wangi, Parit Bilal, Tongkang Pecah, di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian, suaminya yang juga kakitangan Pejabat Pos Malaysia Batu Pahat, sempat singgah menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Jamek Tongkang Pecah sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah.

"Saya sempat membuat panggilan video dan menghantar mesej menerusi WhatsApp padanya jam 6.01 pagi tapi saya dimaklumkan arwah singgah di masjid kerana mahu menunaikan solat Subuh. Pada jam 6.24 pagi, saya sekali lagi menghantar mesej tapi tidak dibaca.

"Empat minit kemudian, saya cuba sekali lagi (hantar mesej) tapi kali ini hanya satu tanda dan hati mula rasa tidak sedap. Saya hubungi suami tapi panggilan masuk ke peti suara sehinggalah mendapat panggilan dari abang sepupu memaklumkan kejadian menimpa suami," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Nur Izzati yang sarat mengandung anak keduanya dan dijangka bersalin hujung bulan ini berkata, arwah suaminya tidak sabar menunggu kelahiran anak keduanya.

Katanya, arwah antara insan paling gembira malah segala kelengkapan untuk menyambut kelahiran anak kedua mereka sudah siap sepenuhnya.

"Arwah juga sempat memberikan nama anak kedua iaitu Muhammad Haiqal," katanya.

Menurutnya, pagi tadi Muhammad Rayqal pula memberitahu dia bermimpi bapanya datang menyebabkan dia makin sebak.

"Arwah memang penyayang dengan anak sebab itulah Muhammad Rayqal tidak boleh melupakan ayahnya," katanya.

Dalam pada itu, Nur Izzati berkata, dia tidak sanggup menatap sosial media sejak semalam kerana penuh dengan gambar arwah suaminya.

"Kami sangat merinduinya, sepatutnya arwah menemani saya menghadiri kursus teman kamar bersalin tapi Allah lebih sayangkan dia.

"Saya perlu kuat untuk menghadapi dugaan ini. Kebetulan pula hari ini majlis ulang tahun perkahwinan kami di pihak lelaki sejak mendirikan rumah tangga pada 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 3:37 PM