GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,261 kes kemalangan direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari kelima Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sebanyak 1,558 kenderaan terbabit dalam kemalangan itu.

"Selain itu, 15 kes kemalangan maut membabitkan 17 kematian direkodkan pada hari sama.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding hari kelima Op Selamat 19, tahun lalu, yang merekodkan lapan kes, iaitu meningkat tujuh kes pada kali ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Azman berkata, jumlah kes kemalangan menunjukkan penurunan berbanding hari kelima Op Selamat 19, yang merekodkan sebanyak 1,642 kes, menurun 381 kes.

Katanya, begitu juga jumlah kenderaan terbabit kemalangan turut menurun sebanyak 444 kes dengan 2,002 kenderaan yang direkodkan pada tempoh sama, tahun lalu.

Justeru, beliau berkata, JSPT menyeru dan menasihati pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal supaya sentiasa peka serta berhati-hati semasa di jalan raya.

"Sentiasa mematuhi peraturan dan arahan serta bekerjasama dengan petugas JSPT di lapangan.

"Elakkan memandu melebihi had kelajuan ditetapkan dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemanduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 9:48 AM