MOHD Azman ketika sidang media di Pulapol Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
MOHD Azman ketika sidang media di Pulapol Kuala Lumpur. FOTO Asyraf Hamzah
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan penurunan kes kemalangan dan kematian akibat kemalangan sepanjang Op Selamat 21 sempena perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, ini membuktikan pelaksanaan operasi berkenaan selama enam hari bermula 8 Februari sehingga 13 Februari lalu mencapai matlamatnya.

Beliau berkata, sejumlah 8,501 kes kemalangan dilaporkan sepanjang Op Selamat 21, menurun 906 kes berbanding 9,407 kes dalam Op Selamat 19 semasa perayaan Tahun Baharu Cina tahun lalu.

"Kes kemalangan maut pula menurun satu kes iaitu 86 kes tahun ini berbanding 87 kes pada Op Selamat 19 manakala jumlah kematian menurun sembilan orang iaitu 91 orang pada tahun ini berbanding 100 orang (Op Selamat 19/2023).

"Kes kemalangan cedera parah juga menurun 12 kes dengan 40 kes kali ini berbanding 52 kes pada tahun lalu manakala kes cedera ringan merekodkan 295 kes (2024) berbanding 426 kes (2023)

"Sebanyak 10,715 kenderaan terbabit kemalangan pada kali ini menurun 1,699 kenderaan atau 14 peratus berbanding 12,414 kenderaan Op Selamat 19," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 21 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Azman berkata, penunggang dan pembonceng motosikal kekal menyumbang kes kemalangan maut tertinggi apabila sebanyak 67 kematian dilaporkan iaitu 74 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian Op Selamat 21.

Selain itu, beliau berkata, jalan bandaran menyumbang peratusan tertinggi kepada kemalangan mengikut jenis jalan iaitu sebanyak 3,640 (43 peratus) kes kemalangan diikuti jalan negeri (1,549 kes); jalan persekutuan (1,281 kes); lebuh raya (1,028 kes) dan lain-lain (1,003 kes).

Katanya, JSPT merekodkan peningkatan jumlah saman pada Op Selamat 21 apabila sebanyak 201,840 saman dikeluarkan berbanding 103,114 saman pada Op Selamat 19 iaitu meningkat 98,726 saman.

"Ini menunjukkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai peraturan dan undang-undang lalu lintas masih rendah, selain kita memberi tumpuan penugasan di lokasi kerap berlaku kemalangan," katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, pendekatan delivery services atau perkhidmatan kepada pengguna jalan raya digunakan banyak membantu menyuraikan aliran kenderaan yang meningkat ketara pada musim perayaan.

Tambahnya, JSPT melalui omni presence berjaya menguruskan dan menyuraikan aliran trafik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 5:36 PM