Datuk Muhamad Zaki Harun. FOTO NSTP
Datuk Muhamad Zaki Harun. FOTO NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis Kelantan merekodkan sebanyak 407 kes kemalangan jalan raya sepanjang Op Selamat 19 bagi Tahun Baharu Cina yang berakhir kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah itu menyaksikan peningkatan 44 kes berbanding 363 kes tahun lalu.

Katanya, kemalangan maut pula membabitkan sebanyak 10 kes, berbanding 11 kes direkodkan tahun lalu.

"Jumlah kematian yang dicatatkan dalam 10 kes kemalangan maut itu juga menurun dua kematian iaitu 12 kematian pada Op Selamat 19, berbanding 14 kematian tahun lalu.

"Daripada 12 kematian itu, tiga kematian adalah penunggang motosikal. Antara punca peningkatan jumlah kemalangan sepanjang tempoh 10 hari Op Selamat adalah kerana kelalaian pemandu sendiri yang gagal mengawal kenderaan dengan baik.

"Melalui analisa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPK Kelantan dapati sebanyak 96 kes kemalangan ini berlaku disebabkan kecuaian ketika keluar masuk simpang atau susur jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 67 kes pula kerana kegagalan melihat atau tidak perasan adanya kenderaan lain atau objek lain di hadapan sebelum bertindak memotong.

Muhamad Zaki berkata, selain itu faktor lain kemalangan disebabkan mengekori terlalu rapat, terbabas sendiri sama ada leka, mengantuk atau letih.

"Dalam berbagai operasi yang dijalankan sepanjang tempoh itu, pihak trafik juga berjaya membuat tangkapan seramai 49 orang individu atas pelbagai kesalahan termasuklah kesalahan berkaitan dadah (41) orang, merempit (6) orang dan (2) orang berkait kesalahan jenayah.

"Jika diukur secara perbandingan jumlah tangkapan pada Op Selamat 19 berbanding Op Selamat 17, kejayaan ini sangat memberangsangkan di mana tahun lalu hanya ada tiga tangkapan berkaitan narkotik dicatatkan," katanya.

Menurutnya, sejumlah 6,808 saman dikeluarkan dalam tempoh operasi itu berbanding, 6,807 saman dikeluarkan pada Op Selamat 17.

Beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan dan mendapatkan rehat mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Katanya, pastikan kenderaan diselenggara terlebih dahulu sebelum bergerak ke destinasi dan tidak memandu melebihi had laju terutama di kawasan berisiko.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 6:44 PM