GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Alor Gajah: Dua keluarga terselamat dalam kebakaran membabitkan dua rumah papan berkembar, di Lorong Zakaria di Pekan Alor Gajah di sini hari ini, kata Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu.

Beliau berkata dalam kejadian 11.22 pagi , kedua-dua rumah separa kekal itu yang didiami 12 orang itu, terbakar hampir 100 peratus, namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

"Rumah pertama dihuni tiga beranak, manakala rumah kedua dihuni sembilan beranak dan kedua-dua keluarga berjaya menyelamatkan diri masing-masing.

"Kebakaran berjaya dipadam anggota bomba dan punca kebakaran serta nilai kerugian kedua-dua keluarga, masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.23 pagi sebelum tiga jentera dan satu water tanker dengan kekuatan 18 anggota bergegas ke lokasi kejadian, sebelum tiba lima minit kemudian.

"Operasi memadam kebakaran dua premis itu, terkawal pada 12 tengah hari," menurut jurucakap itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 6:35 PM