RAKAMAN gambar lama ketika kebakaran hutan di kompartmen 21 Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.  FOTO Ihsan UPBN
RAKAMAN gambar lama ketika kebakaran hutan di kompartmen 21 Hutan Simpan Kuala Langat Selatan. FOTO Ihsan UPBN
Ruwaida Md Zain


KEBAKARAN Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) di Banting, yang memusnahkan lebih 110 hektar hutan di situ sudah berjaya dipadamkan 95 peratus sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, baki lima peratus hanya membabitkan tompokan kebakaran yang berselerak dalam skala kecil.

"Secara keseluruhannya, kompartmen 21 ini seluas 300 hektar lebih, api merebak membabitkan 110 hektar dan kini baki lima peratus sedang dalam usaha pemadaman.

"Kami percaya dalam masa dua hingga tiga hari lagi usaha ini akan selesai sepenuhnya. Kami juga guna water bombing menggunakan helikopter untuk memadam kebakaran yang berada jauh dan berselerak itu.

"Kebakaran sudah berjaya dikawal. Seramai 60 anggota bomba yang berada di beberapa lokasi di dalam hutan ini masih berusaha memadam baki kebakaran," katanya selepas tinjauan udara bersama media dengan menaiki Helikopter Agusta AW189 milik jabatan itu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JBPM Selangor, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Wan Md Razali Wan Ismail, Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Ahmad Fairuz Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Polis Balai Banting, Sarjan Mejar Mustafa Salim.

Norazam berkata, hujan sejak dua lalu juga membantu menghalang api merebak ke dalam hutan, menyeberang ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran dan menghilangkan asap.

Beliau berkata, sehingga semalam, operasi water bombing menggunakan helikopter dilakukan sebanyak 28 kali.

Katanya, berdasarkan siasatan, kebakaran berlaku tiga hari sebelum bomba menerima laporan hingga menyebabkan kebakaran terlampau besar.

"Di kawasan HSKLS ini sudah dua kali kebakaran berlaku. Mengikut siasatan dan pemerhatian kami kebakaran ini dicetuskan oleh manusia kerana kompartmen ini sukar untuk berlaku secara semula jadi.

"Kesan kebakaran di kawasan berhampiran mendapati ada pencerobohan dan aktiviti pembakaran terbuka.

"Lokasi itu sukar dimasuki kenderaan seperti pacuan empat roda, kemungkinan dilalui motosikal, terdapat juga pondok kecil untuk berehat apabila mereka melakukan kerja pembersihan tanah di kawasan berhampiran kompartmen 21, 44, 23, 18," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 12:11 AM