PETA menunjukkan lokasi catuan bekalan elektrik disebabkan penurunan janaan tenaga di Sabah dan Labuan hari ini. FOTO ihsan SESB Careline
PETA menunjukkan lokasi catuan bekalan elektrik disebabkan penurunan janaan tenaga di Sabah dan Labuan hari ini. FOTO ihsan SESB Careline
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kira-kira 62,000 pengguna Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terjejas berikutan catuan bekalan elektrik yang dilaksanakan di 14 daerah di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, hari ini.

Daerah terbabit ialah Tawau, Pitas, Beaufort, Kuala Penyu, Nabawan, Ranau, Tuaran, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Kunak, Kudat, Sandakan, Tenom dan Papar.

Operator Sistem Grid Sabah dan Labuan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir Adrian Mosigil berkata catuan terpaksa dilakukan bagi memastikan kestabilan sistem Grid Sabah berikutan masalah kekurangan penjanaan tenaga yang dialami ketika ini.

Beliau berkata, kekurangan janaan tenaga berpunca daripada masalah teknikal di Unit Penjanaan 2 Stesen Janakuasa Kimanis selain di Unit Penjanaan Gas Turbin 2 dan 3 di Stesen Janakuasa Patau-Patau.

"Unit Penjanaan Gas Turbin 2 dan 3 di Stesen Janakuasa Patau-Patau terpelantik pada jam 10.03 pagi tadi tetapi berjaya dipulihkan selang sejam kemudian.

"Unit penjanaan di Stesen Janakuasa Kimanis pula memerlukan sedikit masa untuk dipulihkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berikutan situasi itu, catuan bekalan terpaksa dilaksanakan bermula pada jam 11 pagi tadi dan berkemungkinan berlarutan sehingga jam 8 malam ini sekali gus menjejaskan seramai 62,093 pengguna.

Katanya, pihak SESB sedang dalam usaha untuk memastikan pemulihan bekalan dilaksanakan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 3:54 PM