Gambar hiasan
Gambar hiasan
Suhaila Khairie dan Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membekukan permohonan lesen perniagaan spa, refleksologi dan urut meresahkan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang banyak bergantung kepada bidang urutan untuk mencari rezeki.

Ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan (SBM), Loh Kong Ken, 63, berkata, jika cadangan itu direalisasikan ia pasti mengecewakan mereka kerana kemahiran urutan adalah kelebihan yang dimiliki untuk mencari rezeki.

"Bagi saya, lebih baik jika kerajaan memahami impak terhadap golongan yang mungkin terjejas sebelum mengambil tindakan.

"Saya harap perkara itu dapat dipertimbangkan perkara itu," katanya.

Sementara itu, juruterapi, Alice Chooi, 50-an, berkata, dia sudah bekerja dalam bidang urutan dan fisioterapi kira-kira 28 tahun lalu dan ia banyak membantu menampung kehidupannya bersama anak.

"Jika menjadi kenyataan ia pasti menyulitkan kami," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata bersedia membekukan permohonan lesen perniagaan spa, refleksologi dan urut, jika ada keperluan berbuat demikian.

Beliau dilapor berkata, agensi berkaitan akan menyediakan data berkaitan sebelum membuat keputusan.

Sementara itu, Pengusaha Pusat Terapi Patella Blind Massage, Hermi Abd Rohim, 47, berkata, pendapatan mereka baharu kembali stabil selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Premis kami mematuhi peraturan, mempunyai permit iklan dan lesen yang sah untuk beroperasi.

"Bahkan juruterapi juga mempunyai kad kesihatan serta kemahiran daripada Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf," katanya.

Selain itu, Presiden SBM, Mohammed Nazari Othman turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan satu libat urus bersama ahli SBM atau pengecualian kepada golongan OKU penglihatan dan menjalankan penguatkuasaan pada bila-bila masa di premis mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 10:38 PM