NUR Hayati (kiri) dan suaminya Mohd Yusri mengurut kaki pelanggan di Gunong, Bachok. FOTO STR HAZIRA AHMAD ZAIDI
NUR Hayati (kiri) dan suaminya Mohd Yusri mengurut kaki pelanggan di Gunong, Bachok. FOTO STR HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


WALAUPUN berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan, namun suami isteri ini tidak pernah menjadikan kekurangan diri mereka untuk mengusahakan pusat urut dan refleksologi sejak lebih setahun lalu.

Nur Hayati Che Hassan, 31, dan suaminya Mohd Yusri Saari, 36, mula serius dalam bidang itu selepas mengikuti kursus dikendalikan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Kelantan pada 2016.

Wanita itu berkata, dia bersama suami menyedari tidak mampu melakukan kerja lain kerana pergerakan terbatas lalu mengambil keputusan untuk membuka pusat urut dan refleksologi selain berbekam.

“Saya dan suami dilahirkan normal, namun saya hilang deria penglihatan ketika berusia 15 tahun disebabkan penyakit saraf.

“Manakala suami pula dikategorikan OKU penglihatan tahap B2 (rabun teruk) ketika berusia 25 tahun selepas sebaik menamatkan pengajian di sebuah kolej di Kepong, Selangor.

“Bagi saya, jangan jadikan kekurangan ini sebagai halangan dalam hidup mahupun sebagai alasan untuk bergantung harap kepada orang lain,” katanya ketika ditemui di Gunung, Bachok, hari ini.

Menurutnya, dia mengalakkan golongan OKU menceburi bidang urutan dan refleksologi kerana boleh dijadikan punca pendapatan di mana sahaja berada.

Katanya, harga ditawarkan di pusat urutnya bermula serendah RM25 hingga RM100 bergantung kepada jenis urutan.

“Pelanggan kami bukan sahaja sekitar Kelantan, malah ada juga datang dari Pahang, Terengganu , Melaka dan Kuala Lumpur.

“Pada masa sama, saya juga memberi perkhidmatan urutan dari rumah ke rumah mengikut keperluan dan juga keadaan pesakit.

“Alhamdulillah, walaupun diusahakan secara kecil-kecilan, namun kami mampu menjana pendapatan sehingga RM1,000 sebulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 2:34 PM