JOHARI Abdul Ghani. FOTO arkib NSTP
JOHARI Abdul Ghani. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Umno perlu menerima keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebagai ahli, semua pihak perlu menerima keputusan yang dibuat dan bergerak ke depan serta menguatkan semula parti.

"Kita sebagai ahli Umno kena akur kepada keputusan dan 'we move on' (bergerak ke depan). Kuatkan balik parti.

"Tunjukkan kepada masyarakat bahawa Umno akan terus bekerja bersama dan bergerak untuk memastikan kita boleh baik pulih parti menjelang 2027," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan tertutup Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pada Jumaat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman terhadap Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Katanya, denda yang perlu dibayar oleh Najib sebelum ini sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 6:35 PM