JENAZAH Mohd Zikri selamat dikebumi di tanah perkuburan Islam Sungai Tengkorak, Permas Jaya. FOTO ihsan keluarga
JENAZAH Mohd Zikri selamat dikebumi di tanah perkuburan Islam Sungai Tengkorak, Permas Jaya. FOTO ihsan keluarga
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Jantung Mohd Zikri berhenti di pangkuan saya dan isteri. Kami reda dengan ketentuan Allah ini," kata Hafiz Al Arshad Mohammed, 41, bapa kepada Mohd Zikri bayi berusia dua bulan mempunyai masalah jantung berlubang yang meninggal dunia semalam.

Hafiz berkata, anak bongsunya yang dilahirkan pada 21 Julai lalu meninggal dunia pada jam 2.55 petang semalam di Hospital Sultan Ismail (HSI).

Katanya, sejak dilahirkan Mohd Zikri menjalani rawatan di Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU) HSI kerana jantung berlubang dan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selama 13 hari.

Menurutnya, mengikut perancangan awal, Mohd Zikri perlu menjalani pembedahan sebanyak tiga kali namun ia ditangguh atas keadaan kesihatannya.

Katanya, namun akhirnya pembedahan berkenaan tidak diteruskan kerana berisiko tinggi.

"Berikutan tiada jaminan sepenuhnya bagi nyawa Mohd Zikri sekiranya pembedahan dijalankan kerana keadaannya agak lemah, kami membuat keputusan untuk tidak meneruskannya selepas berbincang dengan doktor.

"Oleh itu, Mohd Zikri kemudian dihantar kembali ke HSI semalam dan dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen," katanya.

Hafiz berkata, jenazah Mohd Zikri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sungai Tengkorak berhampiran Permas Jaya di sini pada 5 petang semalam.

Menurutnya, keluarganya berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan Mohd Zikri serta mengambil berat berkaitannya.

Pada 15 Ogos lalu media melaporkan ujian berat sebuah keluarga apabila tiga ahli keluarga termasuk bayi berusia 26 hari mengalami masalah komplikasi jantung termasuk jantung berlubang dan jantung terbalik.

Bukan saja keadaan kesihatan tiga anaknya yang menjadi kebimbangannya, ketua keluarga juga buntu memikirkan masa depan tiga anaknya yang tidak pernah bersekolah kerana kesempitan hidup.

Hafiz Al Arshad dan isteri Lina Rais, 37, dikurniakan lima anak iaitu Nursyafina, 12; Mohd Dany Aqasha, 8; Muhammad Alif, 5; Mohd Fikri Irshad, 3 dan Mohd Zikri.

Muhammad Alif, Mohd Fikri Irshad dan Mohd Zikri mengalami komplikasi jantung yang dan pernah menjalani pembedahan.

Muhammad Alif pernah menjalani pembedahan kerana jantung terbalik sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 yang menelan kos keseluruhannya kira-kira RM50,000.

Manakala Mohd Fikri menjalani pembedahan kerana masalah jantung berlubang selain membesarkan saluran pernafasan sempit pada awal tahun lalu dan kos pembedahannya mencecah RM30,000.

Kesemua pembedahan yang dikendalikan di Institut Jantung Negara (IJN) itu dibiaya dan dibantu agensi berkaitan termasuk Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

#kw bayi, jantung, berlubang, meninggal, Johor Bahru, Mohd Zikri

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 4:34 PM