GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Dua ahli perniagaan menjadi mangsa terbaru skim penipuan pelaburan dan pinjaman tidak wujud sehingga membabitkan kerugian lebih RM1.09 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan dibuat kedua-dua mangsa warga tempatan itu pada Selasa dan Rabu lalu, mendakwa menjadi mangsa penipuan yang dilakukan secara dalam talian.

Beliau berkata, mangsa pertama wanita berusia 62 tahun memaklumkan dia melayari laman sosial pada April 2023 dan tertarik dengan tawaran pelaburan yang menawarkan pulangan tinggi.

"Mangsa menekan pautan diberikan dan berurusan dengan suspek hanya melalui aplikasi WhatsApp. Mangsa seterusnya memuat turun aplikasi seperti yang diarahkan dan mendaftar masuk bagi

melihat dan memantau pergerakan pelaburan serta keuntungan yang diperolehi.

"Mangsa dikehendaki membuat pelaburan yang besar sekiranya mahu mendapatkan pulangan keuntungan yang lebih tinggi. Oleh kerana percaya dan mahu mendapatkan keuntungan yang tinggi, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM512,202.29 ke beberapa akaun yang diarahkan suspek.

"Mangsa menyedari ditipu selepas sehingga kini hanya menerima pulangan sebanyak RM924 saja dan diarahkan untuk membuat pelbagai bayaran lain bagi mengeluarkan wang pokok dan keuntungan sebagaimana dipaparkan dalam laman pelaburan berkenaan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kedua lelaki berusia 57 tahun pula memaklumkan melayari laman sosial pada bulan lalu dan tertarik dengan iklan pinjaman wang yang dipaparkan.

Katanya, mangsa berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan memberikan butiran diri serta jumlah pinjaman dikehendaki.

"Mangsa dimaklumkan yang permohonannya diluluskan, namun sebelum wang itu dibayar, mangsa dikehendaki membuat pelbagai bayaran seperti cukai LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), peguam, duti setem dan sebagainya.

"Percaya akan mendapat pinjaman yang ditawarkan, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM585,107.67 ke beberapa akaun yang diarahkan suspek.

"Mangsa syak ditipu selepas tidak menerima wang pinjaman yang dijanjikan, sebaliknya diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebelum wang pinjaman dibayar kepadanya," katanya yang memaklumkan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Kamarul Zaman menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan cakna dengan taktik penipuan yang berlaku masa kini.

"Dapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

"Selain itu, orang ramai juga diseru untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian 'Semak Mule' sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi 'Whoscall' bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 3:29 PM