FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Akibat mahu untung berlipat kali ganda, suri rumah mengalami kerugian RM115,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan Bitcoin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima aduan mangsa berusia 60-an terbabit mendakwa ditipu dalam pelaburan Bitcoin pada 26 Januari lalu.

Menurutnya, dalam laporan itu, mMangsa mendakwa berurusan melalui aplikasi Whatsapp dengan seorang individu memperkenalkan diri sebagai Wong How Dong.

Katanya, suspek memberitahu berhubung pelaburan Bitcoin menggunakan platform Accerx yang menjanjikan pulangan lumayan melalui iklan di laman Facebook.

"Mangsa membuat enam transaksi pemindahan secara dalam talian ke lima akaun yang berbeza dari 19 Disember 2023 sehingga 12 Januari 2024 dengan jumlah keseluruhan RM115,000.

"Wanita itu kemudian mendapati pulangan pelaburan sudah dimasukan ke dalam akuan aplikasi Accerx miliknya, namun gagal dikeluarkan kerana masih perlu membuat pembayaran tambahan.

"Mangsa yang sedar sudah terpedaya hadir ke Balai Polis Port Dickson untuk membuat laporan polis berhubung penipuan pelaburan Bitcoin yang dialaminya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa menggunakan wang simpanan bagi tujuan pelaburan dengan harapan memperolehi keuntungan berganda.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis giat mengesan suspek untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2024 @ 10:32 AM