AHMAD Sukarno (dua kiri) melihat rangka motosikal yang dirampas susulan penahanan dua anggota Geng Alim di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini. FOTO Genes Gulitah.
AHMAD Sukarno (dua kiri) melihat rangka motosikal yang dirampas susulan penahanan dua anggota Geng Alim di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini. FOTO Genes Gulitah.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Ejen penarik kenderaan disyaki dalang Geng Alim yang aktif mencuri motosikal, ditahan bersama seorang konconya berusia 30 tahun dalam dua serbuan di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada 17 Januari lalu, menyasarkan motosikal yang mempunyai tunggakan bayaran dengan pihak bank.

Katanya, suspek mengambil kesempatan mencuri kenderaan terbabit dengan cara merampasnya atas alasan mangsa mempunyai tunggakan bayaran.

"Suspek ini memang bekerja dengan bank, dia ada surat daripada bank tetapi selepas motosikal ditarik, suspek tidak serahkan motosikal itu kepada pihak bank," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, suspek dipercayai bergiat aktif sejak Ogos tahun lalu, dengan jenis motosikal yang dicuri berdasarkan permintaan daripada pembeli kebanyakannya, model Yamaha dan Honda.

Selain itu, katanya, suspek yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) di ibu negara akan meleraikan motosikal yang dicuri di rumahnya, sebelum dijual semula sebagai alat ganti.

"Pasukan serbuan menemui enam motosikal dan sembilan rangka motosikal membabitkan kerugian mencecah RM60,000.

"Kesemua motosikal dileraikan dan komponen akan dijual, kemudian rangka motosikal akan dibuang ke dalam semak atau di kawasan yang jarang dilalui orang ramai," katanya.

Ahmad Sukarno berkata, tangkapan itu menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes curi motosikal di ibu negara dan satu kes di Selangor.

Katanya, polis masih memburu dua lagi suspek yang disyaki membeli dan menjual semula alat ganti curi berkenaan daripada sindiket terbabit.

"Kedua-dua suspek yang kini direman tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Seorang daripada suspek diburu dikenali Muhammad Syawal Muszrad Hassan, 29," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Zulhelmi Shuib di talian 0126401989.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2024 @ 7:37 PM