Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Sindiket curi dan jual kereta mewah dalam talian tumpas dengan tertangkapnya enam ahli sindiket dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, enam lelaki terbabit berusia 30 hingga 56 tahun dipercayai ahli sindiket manakala dalang utama bernama Thomas, 29, dan John, 35, masih diburu.

"Mereka ini turut mempunyai hubungan dengan orang dalam syarikat insurans akan melarikan kenderaan dan menukar nombor casis dan pendaftaran kereta berkenaan dengan nombor casis kereta jenis sama yang telah tidak lagi digunakan akibat kemalangan teruk (total lost).

"Kereta berkenaan kemudian dijual dengan separuh daripada harga semasa, di laman sesawang jualan tanpa diragui oleh pembeli," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

AHMAD Sukarno (tengah) menunjukan wajah suspek pada sidang media mengenai tangkapan dan rampasan kes curi motokar Geng Thomas di IPD Sentul hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI
AHMAD Sukarno (tengah) menunjukan wajah suspek pada sidang media mengenai tangkapan dan rampasan kes curi motokar Geng Thomas di IPD Sentul hari ini. FOTO ROHANIS SHUKRI

Menurutnya, kumpulan itu disyaki melarikan dua kenderaan jenis Toyota Vellfire, kereta BMW dan kereta Honda Civic sejak tahun lalu di sekitar ibu negara dan di Ipoh, Perak.

"Susulan kes ini polis berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan dan pada masa ini memberi tumpuan mengesan dua individu penting iaitu Thomas dan John.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun hingga 17 tahun dan denda," katanya.

Beliau berkata, lima suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan akan dijadikan saksi pendakwaan manakala seorang lagi suspek diserahkan kepada IPD Ipoh, Perak bagi membantu siasatan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 5:24 PM