Tertuduh bersama peguam berjalan keluar daripada kawasan Kompleks Mahkamah Besut selepas selesai membayar denda. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Tertuduh bersama peguam berjalan keluar daripada kawasan Kompleks Mahkamah Besut selepas selesai membayar denda. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Oleh Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengenakan denda RM150,000 terhadap Pengarah Urusan Malee Beach Resort yang runtuh sehingga meragut dua nyawa di Pulau Perhentian dekat sini November lalu.

Hakim Ahmad Fadhli Mahmud menjatuhkan hukuman itu selepas Orang Kena Saman (OKS), Lee Boon Han, 55, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut mengarahkan OKS dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kesalahan dilakukan di kawasan pembinaan projek Male Beach Resort Chalets di Pulau Perhentian Kecil, Besut, pada jam 1 pagi hingga 5 pagi, 9 November tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Boon Han didakwa melanggar kewajipan memastikan keselamatan projek dengan membina premis Malee Beach Resort menggunakan lukisan konsep disediakan pelukis bebas tidak mempunyai perakuan daripada perunding bertauliah.

Boon Han turut didakwa membina bangunan dewan makan resort berkenaan tanpa kelulusan dan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Besut (MDB) serta tidak melaksanakan siasatan tanah di tapak binaan dan tidak menyediakan laporan kesan alam sekitar (EIA).

OKS turut didakwa menggaji penyelia tapak dan pekerja yang tidak mahir dan tidak memiliki perakuan kemahiran dan akreditasi daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Akhbar melaporkan dua buruh binaan maut manakala lima lagi cedera parah selepas tertimbus dalam runtuhan tapak pembinaan restoran setinggi tiga tingkat sebuah resort di Pulau Perhentian.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa CIDB, Muhammad Hafidz Hassan manakala tertuduh diwakili peguam Hayder Yazid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 2:02 PM