PEGAWAI JPJ menahan kenderaan yang disyaki menjalankan khidmat kereta sapu dalam operasi di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.
PEGAWAI JPJ menahan kenderaan yang disyaki menjalankan khidmat kereta sapu dalam operasi di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menyita 23 kenderaan atas pelbagai kesalahan termasuk menjalankan khidmat kereta sapu dalam operasi, hari ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, tindakan diambil menerusi Operasi Pengarah (Kenderaan Perkhidmatan Awam) yang dijalankan bermula 8 pagi sehingga 1 tengah hari.

Menurutnya, operasi tertumpu di empat lokasi sekitar Taman Melati, pusat beli-belah Wangsa Walk, Setapak Central dan KL East.

"Dalam operasi itu, 23 pemandu ditahan terdiri daripada 10 warga tempatan; Bangladesh (5); Indonesia (4); dan masing-masing seorang warga Afghanistan; Somalia; Mesir dan Yemen.

"Selain itu, sebanyak 112 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya berkaitan lesen memandu membabitkan 22 kes, salah guna lesen kenderaan motor (64 kes) dan cermin gelap (21 kes)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, JPJ mengesan taktik pemandu kereta sapu yang menawarkan tambang lebih murah di aplikasi Telegram dan WhatsApp kepada penumpang.

Pemandu terutama warga asing menjadikan universiti awam dan kolej swasta di sekitar Kuala Lumpur, sebagai lubuk mencari pelanggan terdiri daripada penuntut.

Bukan itu saja, terdapat juga pemandu di kalangan penuntut yang menawarkan khidmat sama dipercayai bagi mencari 'duit poket'.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 9:38 PM