KHAW (kanan) menunjukkan gambar suspek yang disyaki terlibat sindiket pusat panggilan judi dalam talian dan kereta yang dirampas. FOTO Mikail Ong
KHAW (kanan) menunjukkan gambar suspek yang disyaki terlibat sindiket pusat panggilan judi dalam talian dan kereta yang dirampas. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Polis menahan 13 ahli sindiket pusat panggilan judi dalam talian yang mampu mengaut keuntungan RM2.5 juta sebulan dalam dua serbuan berasingan di Jelutong dan Queensbay, dekat sini semalam.

Serbuan menerusi Op Dadu itu dilakukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, berkata serbuan pertama jam 10.45 pagi di sebuah premis komersial di Jelutong, di sini, polis menahan empat lelaki dan lima wanita berusia antara 23 hingga 32 tahun.

"Modus operandi sindiket ialah menggunakan aplikasi seperti WeChat dan Facebook untuk mempromosikan pelbagai permainan judi dalam talian dengan mensasarkan pelanggan dari Australia dan Bangladesh selain rakyat tempatan.

"Tujuannya supaya aktiviti perjudian itu tidak mudah dikesan selain pelanggan rakyat asing terbabit tidak dapat membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan kerana tidak berada di negara ini," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Khaw berkata, seorang daripada suspek iaitu wanita berusia 32 tahun bertindak sebagai pengurus sumber manusia dengan merekrut pekerja di bawahnya untuk mempromosi kegiatan perjudian dalam talian itu.

Beliau berkata, premis komersial yang tidak jauh berbeza dengan susun atur pejabat biasa itu disewa dengan bayaran RM7,000 sebulan dan beroperasi kira-kira setahun dengan keseluruhan perolehan mencecah RM1 juta sebulan.

Menurutnya, kebanyakan mereka bekerja secara separuh masa dengan gaji bulanan antara RM2,000 hingga RM6,000.

Bagaimanapun, kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah serta negatif dadah.

Khaw berkata, dalam serbuan kedua pada 1.30 tengah hari, pihaknya memberkas empat lelaki berusia antara 21 hingga 33 tahun di sebuah kondominium mewah di Queensbay yang turut dijadikan pejabat pusat panggilan judi dalam talian.

"Suspek menyewa premis itu untuk dijadikan pejabat dengan bayaran RM5,000 sebulan dan mereka aktif melakukan kegiatan itu sejak lima bulan lalu.

"Premis itu beroperasi 24 jam setiap hari dan mampu meraih pendapatan RM1.5 juta sebulan.

"Kami percaya ada individu lain menjadi dalang sindiket yang turut mensasarkan pelanggan dari Australia namun dua kumpulan individu ditahan semalam tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain," katanya.

Menurutnya, dalam dua serbuan itu polis merampas pelbagai peralatan komputer, 32 telefon bimbit, modem internet, buku catatan, sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan sembilan kereta yang dianggarkan bernilai lebih RM700,000.

"Kesemua 13 individu yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut bawah Seksyen 4(1)(c) dan 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 iaitu menguruskan serta mempromosi kegiatan perjudian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 3:33 PM