ANTARA individu yang ditahan dalam Op Dadu di dua premis berasingan di sebuah bangunan pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
ANTARA individu yang ditahan dalam Op Dadu di dua premis berasingan di sebuah bangunan pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


DUA sindiket perjudian dikesan menjadikan bangunan pejabat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebagai lokasi menjalankan kegiatan judi dalam talian bagi pasaran di China.

Bagaimanapun kegiatan mereka terbongkar selepas dua serbuan berasingan Op Dadu dilakukan pihak berkuasa di lokasi terbabit masing-masing pada jam 10 malam dan 12.15 tengah malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya menahan 30 individu termasuk dua warga China yang dipercayai bertugas sebagai operator serta penjaga premis berusia antara 19 hingga 30 tahun di dua premis berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kegiatan judi dalam talian di premis pertama didalangi lelaki tempatan dikenali sebagai Nick yang beroperasi sejak 15 hari lalu dengan waktu operasi bermula jam 12 tengah hari hingga 11 malam setiap hari.

"Premis itu disewa pada harga RM13,000 sebulan manakala gaji pekerja pula antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan dengan jumlah keuntungan harian diraih sindiket terbabit kira-kira RMB120,000 atau RM79,050.

"Sindiket itu menggunakan aplikasi Soul, Wechat dan Telegram bagi menghantar ratusan mesej kepada pelanggan di China," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, bagi serbuan di premis kedua, kegiatan judi dalam talian di lokasi berkenaan dipercayai didalangi seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Ah Chen.

"Anggaran keuntungan harian sindiket itu dianggarkan berjumlah RMB150,000 atau RM91,212 dan ia beroperasi pada jam 7.30 pagi hingga 7.30 malam setiap hari sejak enam bulan lalu.

"Mereka dipercayai membayar sewa bulanan premis sebanyak RM12,000 dengan gaji bulanan setiap pekerja RM2,000 setiap bulan.

"Semua pelanggan bagi sindiket ini yang berada di China dihubungi melalui aplikasi Chat dan Skype," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan termasuk 59 monitor, 45 papan kekunci, 45 pemprosesan komputer, 59 telefon bimbit dan 46 tetikus dalam dua serbuan berkenaan.

"Semua suspek yang ditahan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4 (1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 7:52 PM