Wan Jamal bersama pegawai kanannya menunjukkan rampasan 2.676kg ketulan mampat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Wan Jamal bersama pegawai kanannya menunjukkan rampasan 2.676kg ketulan mampat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Menggunakan kotak produk kosmetik untuk membungkus dadah sebelum dipos kepada pelanggan.

Begitu modus operandi pengedar dadah di sekitar Rantau Panjang apabila taktik itu berjaya dibongkar dengan rampasan 2.676 kilogram (kg) ketulan ganja mampat dan 370 biji pil kuda berjumlah lebih RM11,000.

Rampasan berkenaan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam dua serbuan di syarikat kurier di Rantau Panjang pada 4 Januari dan 10 Januari lalu.

Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan pertama jam 10 pagi pada 4 Januari, pihaknya merampas 1.49 kg ketulan daun ganja mampat dan 168 biji pil kuda.

Menurutnya, pihaknya kemudian merampas 1.18 kg ketulan daun ganja mampat dan 202 pil kuda dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari pada 10 Januari lalu.

Katanya, rampasan itu hasil risikan selama seminggu sebelum serbuan dilakukan.

"Hasil serbuan mendapati pengedar dadah menggunakan kotak kosmetik untuk membungkus dadah sebelum dihantar dengan perkhidmatan kurier ke Lembah Klang.

"Siasatan juga mendapati nama penghantar dan penerima adalah orang yang sama, namun menggunakan nama samaran," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Padang Bongor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bekalan dadah disyaki masuk ke negara ini dari negara jiran melalui laluan di sepanjang Sungai Golok.

Katanya, dadah itu kemudian dibungkus dan dihantar dengan menggunakan kurier untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 1:36 PM