DATUK Zazuli Johan (kiri )menunjukkan peralatan pemprosesan dadah pada sidang media rampasan dadah di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan. FOTO AZRUL EDHAM
DATUK Zazuli Johan (kiri )menunjukkan peralatan pemprosesan dadah pada sidang media rampasan dadah di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Nilai: Kreatif tidak bertempat apabila sepasang suami isteri menghasilkan biskut menggunakan daun kanabis (ganja) sebelum menjualnya di platform media sosial pada harga mencecah RM100 sebalang.

Difahamkan, biskut berkenaan boleh menyebabkan rasa khayal sekurang-kurangnya dalam masa dua jam dan pengambilannya tidak menghasilkan bau mencurigakan seperti kaedah menghisap daun kering kanabis. Pasangan 'usahawan' itu mendapat bekalan dadah itu daripada Eropah menggunakan kurier sebelum menghasilkan biskut ganja.

Cara pembuatannya adalah dengan mencampurkan daun ganja bersama mentega dan diadun menggunakan mesin khas menjadi biskut.

Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan berkata, pasangan berusia 26 dan 29 tahun itu ditahan selepas dikesan menuntut bungkusan mengandungi bahan kanabis itu di sebuah syarikat kurier di Subang Jaya, Selangor pada 22 Jun lalu.

"Sepasukan anggota kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan sepasang suami isteri warga tempatan di hadapan premis kurier selepas menuntut bungkusan kanabis seberat 1.5 kilogram (kg).

"Hasil soal siasat membawa kepada serbuan di sebuah kondominium di Puchong, Selangor dan kami menjumpai bahan disyaki dadah jenis kanabis seberat 6 kilogram (kg)," katanya ketika sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, nilai kesemua rampasan adalah RM18,750 dan pihaknya turut menyita balang biskut disyaki diperbuat daripada bahan dicampur kanabis serta peralatan untuk membuat biskut.

Tambah beliau, pasangan ini dipercayai menjadikan kondominium berkenaan sebagai tempat untuk membungkus semula kanabis serta menghasilkan biskut itu untuk dijual di platform media sosial.

"Hasil siasatan mendapati pasangan berkenaan mempunyai lebih 2,000 pengikut atau pelanggan di medium berkenaan," katanya.

Zazuli berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minumam keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu.

"Trend modus operandi yang paling banyak diperoleh daripada rampasan dadah adalah melalui kurier selain rampasan kargo udara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 4:40 PM