RAMANAN bercakap kepada wartawan selepas lawatan ke SKM di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia. FOTO Asyraf Hamzah
RAMANAN bercakap kepada wartawan selepas lawatan ke SKM di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia. FOTO Asyraf Hamzah
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Ramanan Ramakrishnan menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya membuat kenyataan berbaur perkauman sehingga boleh mencetuskan sensitiviti rakyat.

Ramanan berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu hanya akan mengelirukan dan menggugat keharmonian kaum di negara ini.

"Sebenarnya kalau tanya dengan saya, Tun M (Mahathir) sepatutnya 'statesman' (negarawan) tidak patut mewujudkan satu isu sensitif perkauman.

"Apa yang Tun M cakap kita tak sayang negara, kita tak setia kepada negara?

"Nak cakap Tun M berkhidmat untuk negara carilah askar (tentera), polis yang sedang dan sudah berkhidmat untuk negara ada yang berikan nyawa untuk negara itu tak cukup bagi Tun M lagi nak beri dia apa (bukti) lagi?" katanya selepas mengadakan lawatan di Menara SKM di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa masyarakat India di Malaysia tidak setia kerana masih 'terikat' dengan negara asal mereka.

Pandangan peribadi itu disuarakan dalam satu sesi temu bual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV.

Mengulas lanjut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) itu berkata, Mahathir tidak layak mengeluarkan kenyataan seumpama itu berikutan beliau juga tiada pendirian dalam politik selepas kerap bertukar parti.

"Dia parti pun tak boleh kekal satu parti setiap tahun.

"Sekarang tengok, saya pun dah lupa Tun M parti mana sekejap Umno, sekejap Pejuang, sekejap Bersatu.

"Saya pun tak tahu… saya tak nak cakap pasal itu nanti terkeliru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 3:13 PM