Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pekan (Hal Ehwal Murid), Mohd Hafiz Ab Rahman (duduk dua dari kanan) bertemu 20 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpaksa tinggal di asrama berikutan banjir melanda daerah ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pekan (Hal Ehwal Murid), Mohd Hafiz Ab Rahman (duduk dua dari kanan) bertemu 20 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpaksa tinggal di asrama berikutan banjir melanda daerah ini. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Pekan: "Saya lebih rela berjauhan dengan keluarga dan menumpang di asrama sekolah kerana mahu menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam keadaan selesa," kata Khairina Izzati Kamizati, 18.

Dia antara 20 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai yang terjejas akibat banjir gelombang kedua di daerah ini dan ditempatkan di asrama sekolah berkenaan sejak 2 Januari lalu.

Khairina Izzati berkata, jalan utama Kampung Bukit Kenau, Pulau Manis, dekat sini, yang dinaiki air menyebabkan dia terpaksa tinggal sementara di asrama sekolah selepas diarahkan berbuat demikian. Menurutnya, dia terpaksa menaiki trak Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk ke asrama ditemani Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM), Mohamad Zamri Abdul Malek yang meredah banjir mengambil calon SPM yang terjejas banjir.

"Kali pertama tinggal di asrama tidak menimbulkan masalah buat saya, lebih penting saya dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang dan selesa menjawab soalan.

"Saya akan tinggal di asrama sehingga banjir surut sepenuhnya, pihak sekolah akan menentukan sama ada saya dan pelajar lain perlu terus tinggal di asrama hingga selesai SPM atau sebaliknya," katanya selepas pertemuan dengan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pekan (Hal Ehwal Murid), Mohd Hafiz Ab Rahman, di sini, semalam.

Khairina Izzati berkata, dia ingin mencatat keputusan 9A dalam usaha memburu cita-cita menjadi guru.

Pelajar Orang Asli, Sonia Angilia Dolnyko, 18, berkata, dia terpaksa berpindah ke asrama selepas terputus hubungan disebabkan banjir.

"Tidak menjadi masalah saya tinggal di asrama walaupun kali pertama meninggalkan keluarga, lebih penting saya dapat menduduki SPM dalam selesa," katanya.

Menurutnya, dia berharap dapat mencatat keputusan terbaik pada SPM kali ini, bagi membuka peluang melangkah ke menara gading.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 10:28 AM