2022. Guru dan kakitangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang  membersihkan ruang dewan sekolah yang terjejas banjir sebagai persediaan pelajar menghadapi peperiksaan  Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang bermula esok.  FOTO GHAZALI KORI
2022. Guru dan kakitangan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan, Kuala Berang membersihkan ruang dewan sekolah yang terjejas banjir sebagai persediaan pelajar menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang bermula esok. FOTO GHAZALI KORI

H: 84 calon SPM dipindahkan ke pusat peperiksaan baharu

Malik Muhamad

[email protected]

Kemaman: Seramai 84 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, Kemaman yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 terpaksa dipindahkan ke SMK Cheneh Baru selepas sekolah mereka ditenggelami air setinggi 0.5 meter.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman, Idris Bidin berkata, pelajar berkenaan terpaksa dipindahkan mulai semalam bagi memastikan tahap keselamatan dan keselesaan mereka berada dalam keadaan baik sebelum menduduki peperiksaan awam itu mulai esok.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 39 daripadanya adalah calon yang menginap di asrama, manakala selebihnya pelajar yang tinggal di rumah masing-masing.

"Kesemua calon SPM terbabit terpaksa dipindahkan ke asrama SMK Cheneh Baru bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan itu dengan selamat tanpa sebarang masalah.

"Kita mengambil kira aspek keselamatan dan kesukaran pelajar yang berulang-alik dari rumah ke sekolah dalam situasi banjir, oleh sebab itu semua calon ditempatkan di asrama SMK Cheneh Baru," katanya.

Menurutnya, seramai 2,701 calon SPM di daerah Kemaman membabitkan 25 pusat peperiksaan termasuk pusat peperiksaan di Hospital Kemaman sentiasa dipantau bagi memastikan calon berada dalam keadaan selamat dan mengikut waktu peperiksaan yang ditetapkan.

"Kita sedang mengumpul datang untuk membantu membantu calon yang menginap di pusat pemindahan sementara (PPS) hadir ke pusat peperiksaan berkenaan dengan selamat.

"Bagi melancarkan proses, calon di PPS dan di rumah yang terjejas banjir juga disarankan berhubung dengan guru masing-masing atau PPD bagi urusan pengangkutan.

"Manakala calon yang terganggu emosi, pihak sekolah dan PPD sentiasa memberikan sokongan elalui pelbagai medium bagi memastikan mereka dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang," katanya.

Operasi pemindahan calon SPM 2021 berkenaan dilakukan dengan bantuan polis dan anggota tentera menggunakan dua lori selepas asrama SMK Air Putih dinaiki air sejak Ahad lalu.

Kelmarin, seramai 233 calon SPM Sekolah Menengah Agama Mahmudiah Kuala Berang, Madrasah Moden Hulu Terengganu dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang dipindahkan ke tiga pusat peperiksaan baharu selepas asrama mereka dinaiki air setinggi lebih dua meter sejak Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 2:37 PM