Malik Muhamad


Kuala Berang: Seramai 115 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan, di sini, akan menduduki peperiksaan di sekolah itu selepas air banjir mulai surut, hari ini.

Pengetua sekolah berkenaan, Che Wan Ahmad Che Wan Sulong berkata, pusat peperiksaan sekolah itu kembali beroperasi untuk meneruskan peperiksaan itu bermula esok.

Menurutnya, seramai 26 pelajar juga sudah kembali ke asrama selepas menghuni di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pusat Kokurikulum Daerah Hulu Terengganu, sebelum ini.

Katanya, bagi 89 calon yang tinggal di kediaman masing-masing, mereka perlu hadir ke sekolah bagi menduduki peperiksaan awam itu.

"Kami bersyukur selepas semua kawasan sekolah yang ditenggelami air banjir sedalam 1.2 meter sejak Sabtu lalu kembali surut hari ini.

"Situasi ini membolehkan seramai 115 calon SPM dapat menduduki peperiksaan awam itu mulai esok," katanya.

Menurutnya, pihak sekolah bersama anggota bomba, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta guru-guru turut bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah berkenaan.

"Disebabkan selut yang tebal, pihak sekolah hanya fokus kepada beberapa tempat dan bangunan termasuk dewan peperiksaan, kelas, bangunan pentadbiran, dewan makan, asrama dan bilik isolasi bagi kegunaan segera.

"Harapan kami agar seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan agar cuaca semakin baik dan tidak berlaku lagi banjir bagi memastikan pelajar dapat fokus kepada peperiksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 5:05 PM