Rena Ryan Reynald yang gagal menemui jalan keluar di Bukit Nulu Lapai, Jalan Gayang, Tuaran. FOTO JOHARY INDAN
Rena Ryan Reynald yang gagal menemui jalan keluar di Bukit Nulu Lapai, Jalan Gayang, Tuaran. FOTO JOHARY INDAN
Johary Indan


Tuaran: Kegagalan pendaki wanita menemui jalan keluar ketika mendaki Bukit Nulu Lapai, di sini, Khamis lalu dikatakan berpunca akibat salah maklumat daripada rakan pendaki lain.

Pendaki dikenali sebagai Rena Ryan Reynald, 38, menerusi hantaran di media sosial semalam mendakwa rakan pendakinya terlupa mengemas kini maklumat lokasi untuk melakukan pendakian pada hari berkenaan.

Menurutnya, dia mula mendaki bukit itu kira-kira 5.40 petang selepas pulang dari kerja, namun tidak menerima kemas kini maklumat lokasi pendakian daripada rakan lain.

"Saya menuju ke Bukit Nulu Lapai, Jalan Gayang sedangkan rakan lain mengubah lokasi tanpa memaklumkan untuk mendaki Bukit Botak, Sepanggar.

"Bagaimanapun, saya menjangkakan rakan lain sudah berada di puncak Bukit Nulu Lapai menyebabkan saya meneruskan pendakian di bukit itu," katanya.

Rena berkata, ketika sampai di puncak Bukit Nulu Lapai, dia mendapati hanya seorang pendaki berada di situ, sedangkan rakan pendakinya tidak ditemui.

"Saya hubungi rakan lain menggunakan WhatsApp dan dimaklumkan mereka berada di Bukit Botak, Sepanggar.

"Saya sempat rehat di puncak dan apabila keadaan mula gelap, saya turun melalui laluan pendek dan berharap jumpa satu-satunya pendaki yang ada di puncak," katanya.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan turun, dia mendapati laluan dipenuhi semak lalu berpatah balik ke laluan asal bagi mencari tanda, tetapi gagal.

Katanya, dia akhirnya menghubungi kecemasan untuk mendapatkan pertolongan di mana pasukan keselamatan menghubunginya beberapa kali memintanya untuk bertenang kerana akan diselamatkan.

"Pada ketika sedang menanti diselamatkan beberapa kali kedengaran seperti bunyi tapak kaki dan paling menyeramkan seperti ada sesuatu menghampiri saya selaim bimbang kehadiran haiwan buas," katanya.

Katanya, dia kemudian diselamatkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran diketuai Mohammad Nor Amit yang menerima panggilan kecemasan jam 6.41 petang Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 1:13 PM