Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: "Saya bertahan dengan hanya makan ais di sepanjang laluan dan pemberian coklat diberikan pendaki lain ketika turun bagi mendapatkan bantuan kecemasan yang mengambil masa perjalanan turun kira-kira 15 jam dari puncak gunung," kata Muhammad Illaham Ishak, 48, seorang daripada tiga pendaki rakyat Malaysia yang terkandas ketika menyertai ekspedisi pendakian ke Gunung Denali, Alaska di Amerika Syarikat pada 28 Mei lalu.

Selain kekurangan bekalan makanan dan minuman, Muhammad Illaham juga perlu bertahan menuju ke Kem 5 (4,330 meter) apabila 10 jari kaki dan tangannya mengalami luka beku (frostbite).

Ketika dihubungi, Muhammad Illaham berkata, dia bersama dua lagi rakan pendaki, Zainudin Lot, 48, dan Zulkifli Yusof, 37, tiba di puncak Gunung Denali dengan ketinggian 6,190 meter sekitar jam 11 malam 27 Mei (waktu tempatan).

Katanya, Zulkifli mengalami kecederaan kaki dan mereka mengambil masa untuk berehat seketika memandangkan perlu melalui laluan trek teknikal dan berbahaya.

"Ketika kami berhenti itu, keadaan Zulkifli masih tidak pulih dan saya sudah merasakan mengalami luka beku. Jadi bagi memastikan dua rakan yang lain selamat dan keadaan saya menjadi lebih buruk, saya mengambil keputusan untuk turun ke Kem 5 dari jam 2 pagi hingga 5 petang bagi mendapatkan bantuan renjer Denali.

"Pada masa yang sama kami juga sudah menghantar isyarat kecemasan kepada pihak pengurusan di Malaysia bagi memaklumkan berlaku kecemasan dalam kumpulan kami," katanya yang juga pendaki profesional Malaysia yang sudah mendaki lima daripada tujuh puncak tertinggi dunia termasuk Everest bersama Zainudin.

Katanya, dia perlu membuat keputusan itu bagi memudahkan proses menyelamat dua rakan pendaki yang lain daripada pihak berkuasa apabila tiba di Kem 5.

Jelasnya, ketika tiba di Kem 5 dia diselamatkan oleh pasukan penyelamat dan disahkan mengalami luka beku serta mempunyai simptom edema pulmonari beraltitut tinggi (HAPE).

Menurutnya, sekiranya lewat mendapat rawatan keadaan dirinya boleh bertambah buruk.

"Rezeki saya adalah sebaik sahaja tiba di Kem 5, cuaca mengizinkan bagi helikopter mendarat. Namun, sebaik sahaja saya diselamatkan, helikopter tidak boleh mendarat di kawasan Zulkifli dan Zainudin terkandas iaitu beberapa meter daripada puncak kerana keadaan cuaca buruk.

"Saya terus dibawa turun dan ke hospital dan masuk ke wad kecemasan kerana mengalami luka beku tahap tiga. Bagaimanapun, masih menjadi kebimbangan kepada Zulkifli dan Zainudin yang kini berada di Football Fields berketinggian 5,791 meter iaitu lokasinya antara puncak Denali dan Kem 5," katanya.

"Kali terakhir saya dapat berhubung dengan Zulkifli dan Zainudin adalah sebelum saya turun ke Kem 5. Saya dimaklumkan, proses memberi bantuan makanan dan bantuan hidup lain sudah pun diberikan supaya mereka dapat bertahan.

"Saya yakin mereka dapat bertahan memandangkan Zainudin seorang pendaki gunung beraltitut tinggi berpengalaman dan kami juga sama-sama pernah mengikuti kursus pendakian profesional.

"Cuma mengharapkan doa supaya tiada berlaku sesuatu yang di luar jangka terutama sejuk yang melampau kerana Football Fields masih bersalji tebal," katanya.

Katanya, pendakian ke Gunung Denali kali ini adalah kali ketiga dilakukan selepas pada 2014 dan 2019.

Namun, dua kali sebelum itu tidak berjaya menakluki puncak Gunung Denali kerana berdepan cuaca buruk.

"Bagi mendaki Gunung Denali ini, kami tidak diwajibkan dengan menggunakan khidmat penunjuk arah. Namun, berbekal pengalaman pendakian yang ada, kami mengambil keputusan untuk tidak menggunakan khidmat berkenaan.

"Dari segi persediaan teknikal dan taktikal memang kita sudah lakukan. Namun, mendaki gunung ini keadaan cuaca juga adalah faktor dan kami mendaki ke gunung ini adalah musim pendakiannya yang mana terdapat ramai pendaki ke puncak ini," katanya.

Kumpulan pendaki berkenaan mula berangkat ke Alaska di Amerika Syarikat pada 14 Mei lalu dan sepatutnya dijadualkan pulang ke Malaysia pasa 1 Jun depan.

TERKINI: Pendaki Malaysia meninggal dunia di Gunung Denali, Alaska

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 10:25 AM