ORANG ramai hadir menjalani saringan kesihatan sempena Program PeKa B40. - Gambar NSTP/DANIAL SAAD
ORANG ramai hadir menjalani saringan kesihatan sempena Program PeKa B40. - Gambar NSTP/DANIAL SAAD

Kuala Lumpur: Dalam landskap landskap penjagaan kesihatan Malaysia yang mencabar, komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap kesihatan rakyat Malaysia adalah tidak berbelah bahagi, dibuktikan dengan perancangan strategik dan sokongan kewangan yang berterusan untuk inisiatif penjagaan kesihatan.

KKM berdedikasi untuk mengubah landskap penjagaan kesihatan, memastikan responsif terhadap keperluan segera dan kemampanan dalam jangka masa panjang.

Kesihatan merupakan tonggak kesejahteraan. Hakikatnya, sistem kesihatan negara berdepan dengan pelbagai cabaran.

Antara cabaran yang dihadapi adalah peningkatan beban penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit, peningkatan permintaan perkhidmatan kesihatan, kesesakan fasiliti kesihatan awam dengan masa menunggu yang lama serta beban kewangan kepada rakyat yang terpaksa mengeluarkan wang untuk mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan swasta.

Mengambil kira situasi ini, pihak Kerajaan telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan Skim Perubatan MADANI (SPM) dan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Sejak skim ini diperkenalkan pada 15 Jun 2023 sehingga 31 Disember 2023, SPM telah mendapat sambutan positif dengan lebih 1.2 juta rakyat telah mendapat manfaat bagi menerima rawatan ringan percuma merangkumi lebih 851 ribu isi rumah golongan berpendapatan rendah melalui lebih daripada 2,500 klinik swasta yang berdaftar.

Pakej SPM ini merangkumi rawatan sakit-sakit ringan, menawarkan konsultasi, ubat-ubatan, ujian dan prosedur rawatan dengan peruntukan mengikut kategori diberikan sebanyak RM250 kepada penerima yang berkeluarga, RM125 kepada warga emas (tanpa pasangan) dan RM 75 kepada individu bujang.

Kelayakan adalah secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan tiada pendaftaran diperlukan.

Penerima yang layak hanya perlu membawa Kad Pengenalan bagi menerima rawatan sakit-sakit ringan di klinik-klinik swasta.

Berbeza dengan PeKa B40 pula, inisiatif KKM ini telah diwujudkan sejak 15 April 2019, bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit (NCD).

PeKa B40 memberi manfaat pemeriksaan kesihatan yang komprehensif secara percuma, bantuan alat perubatan (sehingga RM20,000), insentif melengkapkan rawatan kanser (RM1,000) dan insentif tambang pengangkutan (sehingga RM1,000), khususnya bagi penerima STR dan mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas.

Pada tahun 2023, Peka B40 pula telah merekodkan lebih 340 ribu rakyat dari kumpulan berpendapatan rendah telah mendapat manfaat daripada skim ini melalui lebih 3,500 klinik swasta dan lebih 1,100 fasiliti kesihatan awam.

Sejak 2019, lebih 1.16 juta rakyat telah mendapat manfaat PeKa B40. Pada tahun 2024, KKM akan mengambil langkah-langkah lebih proaktif melalui perluasan SPM dan PeKa B40 bagi penjagaan kesihatan yang lebih holistik kepada kumpulan sasaran.

KKM melalui Protect Health selaku pelaksana sedang mempertimbangkan perluasan SPM dengan rawatan penyakit kronik, (NCD), penjagaan pergigian, penambahan jumlah senarai ubat dan penambah - baikan harga ubat sedia ada.

Bagi Skim PeKa B40 pula, antara perluasan yang berpotensi untuk dilaksanakan adalah program kesihatan (berhenti merokok, kesihatan fizikal dan kesihatan mental) dan penambahbaikan harga alat perubatan yang mampu mengurangkan beban kewangan penerima manfaat PeKa B40.

KKM yakin dengan Inisiatif-inisiatif penambahbaikan tersebut, ia mampu memberikan tambah nilai kepada inisiatif penjagaan kesihatan sedia ada dan menunjukkan potensi dan peluang untuk kedua-dua skim lebih dikembangkan dari semasa ke semasa.

Selari dengan keperluan SPM dan PeKa B40 dan arus perkembangan teknologi terkini, KKM, melalui anak syarikat milik penuhnya, Protect Health Corporation Sdn Bhd (Protect Health) sentiasa bersedia sebagai pelaksana yang proaktif dengan penyampaian dan solusi yang inovatif.

Langkah pendigitalan dengan sistem PRIMIS (Primary Care Information System) yang mesra pengguna yang dibangunkan oleh Protect Health dapat memudahkan pengamal perubatan swasta merekodkan data pesakit selain ianya mampu menjadi gudang data kesihatan yang boleh dikembangkan di masa akan datang.

ProtectHealth telah membangunkan sistem pemprosesan tuntutan secara automasi melalui kaedah machine learning.

Setakat ini, sebanyak 87 peratus tuntutan diproses secara automasi dengan pemantauan serta audit yang dipertingkatkan.

Selain itu, Protect Health juga telah membangunkan aplikasi pintar 'Skim Perubatan MADANI' yang tersedia di peranti Apple & Android berfungsi sebagai pengesahan identiti penerima manfaat, semakan kelayakan, carian klinik dan semakan baki.

Aplikasi ini adalah future-ready, mampu untuk dikembangkan dan integrasi dengan sistem kesihatan sedia ada sebagai aplikasi-super yang dinamik bagi keperluan penjagaan kesihatan akan datang.

Skim SPM dan PeKa B40 bukan hanya sebagai salah satu inisiatif kesihatan KKM, tetapi ia menjadi lambang langkah inovatif KKM dalam fokus memenuhi landskap keperluan kesihatan negara yang dinamik dan mencabar mampu dilaksanakan dan mempunyai peluang untuk diperkembangkan di masa akan datang.

Inisiatif dan penambahbaikan SPM dan PeKa B40 ini mencerminkan komitmen KKM terhadap penjagaan kesihatan yang lebih inklusif dalam menjadikan kesejahteraan rakyat sebagai aspirasi bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 10:31 AM