KHAIRY pada Program Khidmat Komuniti Anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di Senawang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
KHAIRY pada Program Khidmat Komuniti Anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia di Senawang. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang menetapkan satu bulan sebagai Bulan Pemeriksaan Kesihatan Malaysia (BPKM) dengan cadangan awal diadakan pada Julai depan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia adalah lanjutan daripada program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) kementerian itu membabitkan golongan B40 yang sedang berjalan.

Katanya, setakat ini program berkenaan sudah menyaring 561,000 individu di seluruh negara, bagaimanapun mereka yang layak mendapat saringan itu sebenarnya hampir lima juta orang.

"Kita lihat ramai tidak dapat memanfaatkan program disediakan secara percuma kepada penerima bantuan sara hidup kerajaan yang berusia 40 tahun ke atas membabitkan ketua keluarga dan pasangan.

"Mereka boleh daftar di Protect Health Malaysia (PHM) di bawah KKM. Saya risau ramai yang tak buat (pemeriksaan saringan kesihatan).

"Oleh itu, kita merancang untuk menetapkan satu bulan tahun ini dikhususkan untuk melaksanakan program ini. Kita akan gerakkan bukan sahaja aset KKM tetapi juga pengamal perubatan di bawah Peka B40 untuk turun di lapangan di kampung atau di pedalaman buat saringan kesihatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Khidmat Komuniti anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 di perkarangan Pasaraya Mydin Senawang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihaknya akan mengumumkan tarikh sebenar dan sasaran ditetapkan.

Katanya, usaha itu penting kerana sepanjang dua tahun ini KKM tidak dapat melakukan banyak aktiviti kesihatan kerana kekangan menghadapi pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 2:51 PM