Dr Anas Alam Faizli
Dr Anas Alam Faizli
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), sebuah syarikat yang bukan berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Teraju Bumiputera Corporation (Teraju) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempromosikan kesedaran yang lebih tinggi mengenai Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (Peka B40).

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Dr Anas Alam Faizli berkata, ProtectHealth sebagai pentadbir skim penjagaan kesihatan untuk Peka B40, satu inisiatif untuk menangani trend penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat terutama dalam kalangan penduduk berpendapatan rendah.

Katanya, matlamat utama Peka B40 adalah untuk pengesanan dan intervensi awal NCD.

"Lebih 567,956 individu daripada kumpulan B40 disaring di bawah program Peka B40, namun masih terdapat 5.9 juta rakyat Malaysia yang layak dan belum menyertai program Peka B40.

"Ramai yang dijangkiti Covid-19 tidak mengetahui mereka menghidap NCD.

"Oleh itu, penting untuk kita sentiasa mengetahui keadaan kesihatan anda dengan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala terutama semasa wabak ini.

"Jangan kita lupa walaupun kita sedang memasuki fasa peralihan endemik Covid-19, namun salah satu utama dan berterusan dalam kalangan masyarakat adalah dalam memupuk tingkah laku mencari kesihatan dan mengekalkan gaya hidup sihat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara Protect Health dan Teraju turut bertindak sebagai pemangkin dalam memacu negara ke arah kehidupan yang lebih sihat.

"NCD sentiasa menjadi salah satu ketakutan terbesar dalam masyarakat kita dan program Peka B40 akan menggalakkan pengesanan dan intervensi awal.

"Fokus kita adalah untuk membawa Peka B40 dengan lebih dekat lagi kepada masyarakat melalui kerjasama dengan Teraju ini, melalui Memorandum Persefahaman ini juga dapat meluaskan akses program Peka B40 ini di seluruh negara.

"Kami akan terus membabitkan diri dengan pihak berkepentingan utama yang lain untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam kalangan masyarakat Malaysia mendapatkan apa jua manfaat yang disediakan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman berkata, menerusi hubungan strategik itu, pihaknya akan mengenal pasti klinik yang akan menyertai program ini bagi meningkatkan jangkauan kepada komuniti Bumiputera B40 di seluruh negara.

"Persefahaman yang dimeterai hari ini bersama ProtectHealth adalah satu contoh terbaik di mana sistem penyampaian kerajaan dapat diperluaskan kepada semua lapisan melalui ekosistem Teraju kepada komuniti B40 Bumiputera yang kurang berkemampuan.

"Di Sabah sahaja, program PeKA B40 ini dianggarkan akan memberi manfaat kepada lebih dari 400,000 Bumiputera di beberapa daerah di wilayah ini.

"Di Sarawak pula, dianggarkan seramai 480,000 orang bakal mendapat manfaat dari program ini.

"Teraju akan terus memberi penekanan kepada inisiatif keselamatan sosial ini ke negeri-negeri lain dan menjadikannya sebahagian dari program program libat urus kami selaku agensi penyelaras utama di samping membantu meningkatkan status ekonomi Bumiputera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 5:24 PM