Rosli Latif
Rosli Latif
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Premis perniagaan dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sudah diarah menutup operasi selama dua jam pada setiap Jumaat.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Rosli Latif berkata, penutupan operasi semua premis perniagaan bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat sejak awal Januari lalu.

Menurutnya, arahan penutupan operasi itu bukan sahaja membabitkan pasar raya, sebaliknya semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan.

"Pemilik pasar raya dan semua premis perniagaan termasuk restoran dan kedai makan diminta memberi kerjasama memastikan aktiviti tidak beroperasi dalam tempoh itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arahan serupa mengenai penutupan premis perniagaan pada waktu solat Jumaat pernah dibuat pada 2014.

Semua pemilik premis perniagaan dan pasar raya serta kedai menjual pakaian akur dengan arahan itu apabila tidak menjalankan aktiviti perniagaan pada masa ditetapkan.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, MBKT akan mengambil tindakan termasuk membatalkan lesen perniagaan jika pemilik premis perniagaan gagal mematuhi arahan dikeluarkan.

"Jika kita dapati pemilik semua premis perniagaan gagal mematuhi arahan ditetapkan, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan berdasarkan undang-undang yang diguna pakai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 11:19 AM