ANGGOTA penguat kuasa MBKT sedang melakukan pemantauan penutupan premis perniagaan. FOTO Baharom Bakar
ANGGOTA penguat kuasa MBKT sedang melakukan pemantauan penutupan premis perniagaan. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pengusaha restoran dan kedai makan bukan Islam yang tidak terikat dengan arahan penutupan operasi selama dua jam pada setiap Jumaat turut didapati mematuhi peraturan itu.

Malah pengusaha bukan Islam turut mengaku mereka tidak mengalami apa-apa kerugian walaupun menangguh perniagaan selama dua jam.

Pemilik restoran, Wang Lim Choo, 57, berkata, kebanyakan pengusaha kedai makan bukan Islam hanya beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

"Kami biasanya membuka restoran pada sebelah pagi dan petang.

"Kami tidak mengalami kerugian pun jika menangguhkan perniagaan selama dua jam," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latiff berkata, hasil pemantauan pegawai dan anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapati semua restoran menutup operasi perniagaan bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang.

"Warung dan kedai makan kecil di kawasan tumpuan orang ramai pada setiap Jumaat juga mematuhi peraturan apabila hanya menjalankan perniagaan sehingga jam 12 tengah hari sebelum membukanya semula pada jam 3 petang.

"Kita akan terus membuat pemantauan bagi memastikan semua restoran dan kedai makan terutama membabitkan pengusaha Islam mematuhi peraturan ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada awal bulan lalu, MBKT mengeluarkan arahan penutupan premis perniagaan terutama pasar raya, restoran dan kedai makan termasuk restoran makanan segera berkuat kuasa 12 Januari lalu.

Bagaimanapun, arahan penutupan itu tidak membabitkan hotel, restoran dan kedai makan bukan Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 11:53 AM