Chow Kon Yeow menjawab soalan media selepas meninjau 'Tangki Fleksi Gajah' di Perkarangan Parkir Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO Mikail Ong
Chow Kon Yeow menjawab soalan media selepas meninjau 'Tangki Fleksi Gajah' di Perkarangan Parkir Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memberitahu pengkritiknya bahawa beliau boleh meminta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tangguhkan kerja membaiki paip utama di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua jika mahu menjadi popular.

Beliau berkata, sebaliknya perkara itu tidak berlaku kerana menjadi kewajipannya untuk melihat lebih jauh berhubung masalah yang bakal timbul sekiranya usaha pembaikan LRA terbesar di Pulau Pinang itu tidak dilakukan sekarang.

"Kalau saya mahu jadi popular, saya minta PBAPP tangguhkan operasi ini. Tunggu ketua menteri baharu seterusnya pikul tanggungjawab ini.

"Tetapi kewajipan, tanggungjawab dan 'concern' (keprihatinan) saya tidak membenarkan saya buat begitu," katanya kepada pemberita selepas meninjau tangki jumbo di perkarangan Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sebelum ini Kon Yeow dikritik pelbagai pihak berhubung isu gangguan bekalan air berjadual itu selain Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP turut menerima teguran daripada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu klip video bocor yang ditularkan baru-baru ini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP turut berpendapat, sekarang bukan masanya untuk bergaduh atau mempertikai keputusan yang telah dirancang sebaik mungkin berhubung isu gangguan air berjadual selama empat hari bermula Rabu ini.

"Kita tak perlu gaduh, tak perlu pertikai cuma fokus kepada kerja-kerja yang wajib. Bagi pengguna serta rakyat saya mengharapkan kesabaran (mereka).

"Sehingga kini semua sudah menyimpan air, yang belum berbuat demikian boleh bermula daripada sekarang dan menunggu kerja-kerja (pembaikan) siap," katanya.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, kebanyakan paip air berusia melebihi 50 tahun dan secara purata berlaku 15 kes kebocoran paip saban hari dan dikhuatiri menyebabkan kerosakan lebih teruk seterusnya mengundang kerugian lebih besar pada masa depan.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga EXCO Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi memaklumkan 99 lori tangki yang disediakan PBAPP bersedia sepenuhnya untuk digerakkan.

Katanya, 97 tangki statik didirikan oleh PBAPP selain 19 tangki fleksi gajah yang boleh menampung sehingga 24,000 liter air setiap satu serta tangki-tangki lain disediakan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen telah siap diisi air.

Beliau bagaimanapun mengakui, penggunaan semua lori tangki dan tangki statik tidak dapat menggantikan bekalan air harian biasa kepada 590,000 pengguna terjejas iaitu bersamaan 80 peratus penduduk di Pulau Pinang.

"Kami memahami dan memohon maaf atas kesulitan terpaksa beratur untuk mengambil air pada tempoh dinyatakan. Bagaimanapun adalah diyakini lori tangki dan dan tangki statik akan memberi sedikit kelegaan kepada pengguna terjejas," katanya.

Kon Yeow turut menegaskan, gangguan bekalan yang dijadualkan tidak bermaksud majoriti pengguna akan berdepan ketiadaan air selama empat hari dengan PBAPP telah mengumumkan bekalan air untuk 33 peratus pengguna akan pulih dalam tempoh 48 jam sementara 84 peratus lagi harus menerima air dalam masa 72 jam.

"Baki 16 peratus pengguna terjejas akan menerima bekalan air dalam tempoh 96 jam dengan pengguna terakhir yang menerima air membabitkan pengguna di kawasan hujung paip agihan (EoL) dan kawasan tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 3:27 PM