GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Beberapa penganalisis politik hari ini berbeza pendapat mengenai ura-ura akan berlakunya pertukaran kerajaan dalam masa terdekat.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, ini kerana dakwaan Perikatan Nasional (PN) memiliki jumlah akuan bersumpah (SD) seperti diperkata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dilihat sebagai asas tidak kuat.

"Sekarang ini kalau ada Akta Lompat Parti, tak boleh guna SD. Sudah tak terpakai sebab keputusan itu mesti melalui ketua parti yang dipanggil en bloc.

"Kalau SD ini boleh dijadikan asas untuk pertukaran kerajaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya sudah menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum tempoh hari," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu bagaimanapun tidak memaklumkan secara terperinci mengenai SD itu.

Selainnya, blogger, Raja Petra Kamarudin juga mendakwa terdapat 120 SD daripada Ahli Parlimen untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Dr Mazlan turut melihat dakwaan pertukaran kerajaan itu tidak sahih dan tidak boleh dibuktikan dengan nyata.

"Pada saya perkara ini lebih kepada naratif atau tujuan politik sahaja dan tidak mempunyai asas yang betul," katanya.

Katanya, dakwaan mampu tumbangkan kerajaan juga tidak baik kepada negara kerana ia akan memberi persepsi termasuk kepada pelabur yang politik Malaysia tidak stabil.

"Imej itu tidak baik kepada Malaysia. Kalau betul pun mereka nak buat dan ada asas mempunyai 120 sokongan, anda tunggu bulan Februari di Dewan Rakyat nanti untuk membuat usul tidak percaya," katanya.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub pula berpandangan, pertukaran kerajaan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Bagaimanapun katanya, pemimpin PN seperti Muhammad Sanusi yang mengatakan sudah mempunyai jumlah SD mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan perlulah berani dalam hal itu.

"Kena tunjukkan (bukti) seperti yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau menjadi pembangkang... (beliau) menunjukkan jumlah senarai yang diperolehnya.

"Kalau setakat Raja Petra tulis ada 120 (SD), itu kerja budak sekolah. Jadi, kena tunjukkan dengan berani dan dedahkan siapa Ahli Parlimen itu. Walaupun itu strategi parti politik tetapi bagi saya, ini menunjukkan ada keyakinan yang jelas daripada PN," katanya.

Beliau yang berbeza pendapat dengan Mazlan berkata, walaupun negara ini mempunyai Akta Lompat Parti, namun penerimaan SD daripada Ahli Parlimen masih boleh terpakai.

"Bagi saya tidak ada masalah menggunakan SD kerana itu dibenarkan oleh undang-undang. Kalau berlaku secara en bloc pun dalam konteks pengundian di Dewan Rakyat, ia tidak mengikut parti.

"Pengundian dalam Dewan Rakyat tidak mengikut parti tetapi ia adalah hak Ahli Parlimen dan kebebasan kepada mereka untuk menyatakan siapa yang mereka akan undi kalau ada proses pemilihan Speaker atau Perdana Menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 3:07 PM