MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama.
MUHAMMAD Sanusi. FOTO Bernama.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, malah perkara itu tidak pernah terlintas di fikirannya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, menjadi Perdana Menteri adalah bukan sasarannya dalam bidang politik.

"Saya tak boleh letak sasaran dan saya tak ada angan-angan. Allah yang mengirimkan saya ke sini, sama dengan pemimpin lain, kalau mereka pergi lebih jauh itu serah kepada jemaah parti.

"Saya tak ada cita-cita (jadi Perdana Menteri), tapi kalau diberi amanah oleh kepimpinan di mana saja saya akan cuba untuk parti, untuk jemaah, untuk orang ramai. Tapi untuk diri saya tak ada," katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin bahawa parti itu mempunyai ramai calon Perdana Menteri seperti Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad dan beberapa kepimpinan muda termasuk dirinya.

Muhammad Sanusi berkata, jawatan Perdana Menteri berkemungkinan boleh dijawat pemimpin PAS seawal tahun depan kerana parti itu mempunyai bilangan kerusi Parlimen tertinggi ketika ini.

"Sebelum ini saya pernah cakap pada 2050 itu Perdana Menterinya daripada PAS, tapi itu bukan yang pertama. Mungkin lebih awal daripada itu, seboleh-bolehnya mungkin tahun depan.

"PAS ada jumlah kerusi Parlimen paling tinggi di antara parti politik yang ada di Malaysia. Itu asas saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 3:24 PM