GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Nilai: Bayi lelaki berusia empat bulan yang sedang menyusu botol secara tiba-tiba tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, bayi yang dalam jagaan pengasuh itu sempat dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Nilai, namun tidak memberikan respons ketika dirawat.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kira-kira 9.30 pagi, polis dihubungi KK Nilai memaklumkan bayi lelaki meninggal dunia yang dibawa seorang wanita dari kawasan Rumah Rakyat Nilai, di sini.

"Siasatan awal dijalankan dan polis mendapati bayi itu yang dijaga wanita berkenaan di kawasan Rumah Rakyat Nilai.

"Kira-kira 8.30 pagi, penjaga memberi minum susu kepada bayi kemudian diletakkan secara mengiring di atas toto. Tidak lama selepas itu penjaga dapati terdapat susu yang mengalir keluar dari mulut bayi itu," katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, penjaga kemudian mengangkat bayi itu serta menepuk belakangnya sebelum meminta bantuan jiran membawa mangsa ke KK Nilai.

"Pemeriksaan awal oleh pihak KK Nilai mendapati tiada tanda-tanda bayi masih hidup kerana mangsa tidak menunjukkan apa-apa tindak balas ketika diperiksa.

"Hasil pemeriksaan awal juga pihak polis mendapati tiada kesan kecederaan pada fizikal tubuh badannya," katanya.

Katanya, bedah siasat dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar semalam dan laporan mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala namun tiada sebarang kesan kecederaan pada luaran tubuh bayi.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 6:54 PM