GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Nilai: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah lori yang membuat pusingan-U dekat Jalan Persiaran Ilmu, berhampiran Simpang Desa Kasia, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa dikatakan tersepit di bawah lori berkenaan sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, mangsa yang berusia 35 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Nilai.

"Penunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan dari Sepang menghala ke Nilai.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun secara tiba-tiba membuat pusingan U di kanan jalan, namun terlanggar penunggang berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 1:23 PM