GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Nilai: Pengasuh di sebuah pusat asuhan kanak-kanak ditahan polis selepas disyaki mendera seorang bayi berusia 11 bulan ketika dalam jagaannya, 5 Februari lalu.

Hasil semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu, polis mendapati bayi perempuan berkenaan dipukul pada bahagian muka dipercayai menggunakan objek keras.

Ketua Polis Daerah Nilai, Abdul Malik Hasim berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 20-an mengenai kejadian itu, jam 6.12 petang semalam.

"Pengadu menyatakan anak perempuannya didera di sebuah pusat asuhan kanak-kanak yang terletak di sebuah taman perumahan di Nilai.

"Siasatan awal dijalankan oleh pihak polis dan mendapati kejadian berlaku pada 5 Februari lalu antara 8 pagi hingga 6.18 petang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Malik berkata, pusat asuhan itu sudah beroperasi lebih kurang 20 tahun dan penubuhannya mendapat kelulusan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.

"Semakan rakaman CCTV mendapati suspek iaitu pekerja pusat asuhan kanak-kanak dipercayai memukul mangsa.

"Hasil keterangan pakar perubatan yang merawat mangsa menyatakan bayi itu mengalami kecederaan bengkak di bahagian mata kemungkinan terkena objek yang keras," katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai menangkap suspek wanita berusia 66 tahun itu pada 12.30 tengah hari.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

"Permohonan reman akan di buat di Mahkamah Majistret Seremban esok.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pihak polis dan dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam susulan kejadian itu mulai tular di media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 6:01 PM