Shamsiah menjaga anak keduanya, Ahmad Faiz Mohd Yusof, 34, yang dikategorikan sebagai OKU ketidakupayaan fizikal ketika ditemui di Kampung Sungai Budor. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Shamsiah menjaga anak keduanya, Ahmad Faiz Mohd Yusof, 34, yang dikategorikan sebagai OKU ketidakupayaan fizikal ketika ditemui di Kampung Sungai Budor. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Dalam kedaifan dan sisa kudrat yang ada, Shamsiah Mohamed, 60, tidak pernah mengeluh dan cekal menguruskan dua anak lelakinya berstatus orang kurang upaya (OKU).

Wanita itu yang kematian suami lima tahun lalu berkata, dia akan menjaga Ahmad Faiz Mohd Yusof, 34, (OKU ketidakupayaan fizikal) dan anak ketiganya, Ahmad Hafizi, 32, (OKU lembam).

"Mujurlah ada anak bongsu yang membantu menjaga kedua-dua abangnya. Ahmad Faiz perlu diuruskan sepenuhnya manakala Ahmad Hafizi pula mampu menguruskan diri sendiri, namun perlu dipantau.

"Ahmad Faiz sebelum ini membesar seperti kanak-kanak normal, namun ketika berusia setahun setengah dia terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Kesan daripada pembedahan menyebabkan dia hilang keseimbangan badan untuk berjalan sehingga terlantar dan perlu bergantung sepenuhnya pada orang lain.

"Lebih membimbangkan, Ahmad Faiz juga kerap diserang sawan sekurang-kurangnya dua kali sehari dan disebabkan keadaan itu, dia tidak boleh ditinggalkan bersendirian," katanya.

Ibu kepada lapan anak ini berkata, bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia menjual barangan runcit di Pasar Gok Kapur hampir setiap hari bermula jam 3 petang hingga 7 malam.

"Pendapatan yang diperoleh tidak menentu bergantung kepada pelanggan iaitu diantara RM30 hingga RM50 sehari.

"Anak-anak bukan dalam kalangan orang yang senang dan sebolehnya tidak mahu menyusahkan mereka kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab selain sudah berkeluarga.

"Mujurlah Ahmad Faiz menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan manakala Ahmad Hafizi pula memperoleh RM300 yang digunakan untuk membeli keperluan mereka," katanya.

Katanya, apa yang diharapkannya sekarang ialah supaya sentiasa diberi kesihatan yang baik oleh Allah SWT untuk terus menjaga kedua-dua anak istimewanya itu.

Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agrobank di nombor 2-00-6591-00144621-4 atas nama Shamsiah Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 9:13 PM