Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Seorang isteri berdepan dugaan apabila bukan saja menjaga suaminya, Mamat Isa Jusoh, 64, yang terlantar sakit akibat angin ahmar dan Parkinson, malah turut menguruskan tiga anaknya yang masing-masing menderita penyakit talasemia.

Haminah Hussin, 60, berkata, pada masa sama, dia juga perlu menjaga dua cucunya iaitu Nurul Ain Batrisya Abdullah, 8, dan Nor Aradhia Batrisya Mohd Hasdan, 6, selepas kedua ibu bapa mereka berpisah sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, tiga anaknya bukan sahaja menderita penyakit talasemia, malah mempunyai masalah kesihatan, yang mana Mohamad Aiman Hazimi Mamat Isa, 21, turut mengalami masalah tulang belakang patah dan terpaksa dimasukkan besi dan dalam masa sama menghidap penyakit katarak mata kronik.

Menurutnya, selain itu, Mohamad Irfan Helmi, 19, pula adalah orang kurang upaya (OKU) pelbagai yang bersekolah dalam aliran pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang, manakala Siti Noor Hafiza Idayu, 30, pula mengalami masalah kemurungan.

"Selain daripada mereka, enam lagi anak saya juga menghidap penyakit talasemia, namun ada di antara mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, namun salah seorang sudah meninggal dunia sejak 13 tahun lalu disebabkan talasemia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kolam Abu, di sini.

Haminah berkata, sebelum suaminya diserang angin ahmar, dia mengalami masalah kemurungan dan Parkinson, namun ketika berehat, dia tiba-tiba terjatuh dari kerusi dan lumpuh seluruh anggota badan dan dalam masa sama turut menghidap penyakit darah tinggi.

"Sejak suami saya terlantar lebih dua tahun yang lalu, segala keperluannya termasuk memberi minum, menyuap makan dan memandikannya dilakukan oleh saya dan ada kalanya dibantu anak-anak.

"Walaupun saya sendiri mempunyai penyakit tiriod, darah rendah selain masalah tulang belakang, namun amat bersyukur kerana diberikan kekuatan luar biasa dalam berdepan dugaan untuk menguruskan suami yang terlantar, anak sakit serta cucu yang masih kecil serta memerlukan perhatian," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga hilang punca pendapatan selepas suami yang sebelum ini bekerja kampung terlantar sakit, manakala anak lain pula hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu dan sekadar mampu menyara diri sendiri.

"Mujurlah anak, Mohd Aiman Hazimi memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan selain saya juga mendapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) RM400 setiap bulan yang dapat meringankan beban ditanggung.

"Setiap bulan saya perlu memperuntukkan kira-kira RM500 untuk membeli keperluan suaminya termasuk ubat-ubatan serta lampin pakai buang," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi anak Haminah, Mohd Hasdan di talian 0179643470.

HAMINAH menyuapkan makanan kepada suaminya, Mamat Isa yang terlantar sejak lebih dua tahun lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
HAMINAH menyuapkan makanan kepada suaminya, Mamat Isa yang terlantar sejak lebih dua tahun lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 11:05 AM