Letupan bunga api yang didakwa jatuh atas tanah yang boleh mengundang bahaya kepada orang ramai ketika sambutanalam Tahun Baru 2024 di Dataran Bandar Baharu seperti yang ditular di laman sosial. FOTO Tular
Letupan bunga api yang didakwa jatuh atas tanah yang boleh mengundang bahaya kepada orang ramai ketika sambutanalam Tahun Baru 2024 di Dataran Bandar Baharu seperti yang ditular di laman sosial. FOTO Tular
Oleh Zuliaty Zulkiffli


Bandar Baharu: Keseronokan orang ramai melihat pertunjukan bunga api di Dataran Bandar Baharu pada sambutan Malam Tahun Baru 2024 malam tadi, bertukar gempar apabila bunga api itu meletup di atas tanah.

Namun kejadian yang berlaku jam 12.01 tengah malam itu tidak membabitkan sebarang kecederaan terhadap pengunjung.

Satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang individu merakam bunga api di udara sebelum tiba-tiba terkejut apabila satu daripadanya meletup di atas tanah.

Melalui video itu, ada pengunjung yang menjerit dan meminta pengunjung berhampiran menjauhi kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Bandar Baharu Deputi Superintendan Azmi Mokhtar berkata, insiden letupan bunga api di atas tanah itu boleh membahayakan keselamatan pengunjung.

"Semakan mendapati, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu tidak dimaklumkan atau menerima sebarang permohonan berkaitan pembakaran bunga api oleh pihak penganjur serta tiada sebarang permit dikeluarkan.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan atau kedua-duanya," katanya pada kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 3:51 PM