KEADAAN kanak-kanak yang diterbangkan layang-layang gergasi. FOTO Agensi.
KEADAAN kanak-kanak yang diterbangkan layang-layang gergasi. FOTO Agensi.
Agensi

Taipei: Seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik cemas apabila tersangkut pada layang-layang gergasi di Nanliao Harbor di Bandar Hsinchu, di sini, semalam.

Mangsa yang dikenali sebagai Lin berusia tiga tahun itu berada di lokasi berlangsungnya Festival Layang-Layang Antarabangsa 2020 ditarik layang-layang akibat angin kencang.

Mirror.co.uk melaporkan, tali layang-layang berkenaan kemudian membelit perut Lin sebelum dia ditarik naik ke udara sehingga mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung.

Bagaimanapun, Lin bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya calar pada bahagian tubuh, lapor Taiwan News.

Dalam video yang dikongsi di laman sosial menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan bergayut di udara beberapa saat ditarik layang-layang.

Video itu juga menunjukkan budak perempuan itu ditarik agak tinggi selain berpusing beberapa kali di udara sehingga menyebabkan orang ramai sukar mempercayai dengan apa yang berlaku pada mangsa.

Pengunjung juga menjerit untuk menarik perhatian orang ramai agar membantu menyelamatkan mangsa yang masih berada di udara dan beberapa individu sempat menyambutnya sebelum terjatuh ke tanah.

Lin kemudian dihantar ke hospital oleh kakitangan festival berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan dia dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.

Festival anjuran kerajaan negeri itu terpaksa dibatalkan ekoran kejadian itu dan Datuk Bandar Lin Chih-chien turut memohon maaf menerusi laman Facebook atas kejadian yang berlaku.

Datuk Bandar kemudiannya memberi jaminan untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian untuk mengelak kejadian sama daripada berulang pada masa akan datang.

"Kerajaan negeri memohon maaf kepada mangsa dan pengunjung atas kejadian yang berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 1:10 PM