Ahli UNGGAS mengedarkan risalah kepada orang ramai.
Ahli UNGGAS mengedarkan risalah kepada orang ramai.
Zulfa Mohamad


Butterworth: Ketika orang ramai teruja melihat percikan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2017, ahli Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) mengambil langkah berbeza dengan menggerakkan dakwah lapangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, dekat sini, kelmarin.

Program itu bertujuan menangani masalah sosial membabitkan anak muda yang menjurus kepada hiburan ketika menyambut tahun baharu.

Dalam program tiga jam itu, 30 ahli UNGGAS berdakwah dengan cara mengedarkan risalah serta nasihat kepada pasangan anak muda, penunggang motosikal dan remaja yang menunggang basikal berkumpulan.

Pengerusi UNGGAS Malaysia, Nur Fitri Amir Muhammad berkata, pihaknya mengambil pendekatan berbeza setiap kali sambutan tahun baharu iaitu dengan menggerakkan dakwah kerana tidak mahu golongan muda terbabit dalam masalah sosial.

Katanya, selain mengedarkan risalah serta memberi nasihat, pihaknya mengadakan demonstrasi pakaian Muslim iaitu serban dan purdah kepada pengunjung.

“Kami mengambil pendekatan lembut iaitu memberi nasihat kepada kumpulan sasaran dengan harapan mereka tidak terjebak dalam masalah sosial, selain memberi tumpuan pada pendidikan,” katanya.

Menurut Nur Fitri, dakwah lapangan yang dilaksanakan pihaknya mendapat sambutan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 8:56 AM