LAPANGKAN waktu anda mengunjungi FLORIA Diraja Putrajaya.
LAPANGKAN waktu anda mengunjungi FLORIA Diraja Putrajaya.
BUSTAN Inggeris dengan latar bunga segar.
BUSTAN Inggeris dengan latar bunga segar.
WARNA-warni di Taman Pinwheel.
WARNA-warni di Taman Pinwheel.
TAMAN Fantasi yang mampu membuatkan sesiapa saja teruja.
TAMAN Fantasi yang mampu membuatkan sesiapa saja teruja.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Bertemakan Alunan Pancarona, Festival Bunga & Taman Diraja Putrajaya (FLORIA Diraja Putrajaya) 2015 bermula hari ini dengan pelbagai tarikan buat pengunjung.

Tapak yang kini dikenali sebagai Anjung Floria di Persint 4 kini bertukar menjadi taman bunga mempesonakan. Ia dibuka kepada umum selama sembilan hari hingga 7 Jun ini.

Bunga lily pula menjadi bunga tema termasuk dipamerkan dalam pelbagai gubahan dan taman.

Menurut Pengarah Urusan Putrajaya Floria Sdn Bhd, Haslinda Khalid, antara tarikan baru festival yang dinantikan itu ialah Taman Musim Sejuk dan Taman Musim Bunga.

“Objektif utama kita adalah untuk mempromosikan Putrajaya sebagai Bandar Dalam Taman, Bandar Berbunga dan Perintis Bandar Hijau.

“Di samping memperkenalkan FLORIA Diraja Putrajaya 2015 sebagai ikon pelancongan utama dan menjadikan Putrajaya lebih ‘vibrant’ dengan pelbagai aktiviti sepanjang hari buat seisi keluarga.

“Justeru festival ini berperanan sebagai platform untuk mendidik warga kita menyayangi, menghargai dan memulihara alam sekitar supaya kekal untuk dinikmati generasi akan datang,” katanya.

FLORIA Diraja Putrajaya 2015 yang sudah memasuki tahun kelapan penganjuran dilihat semakin matang dalam setiap pengisian acaranya.

“Sebenarnya bukan sekadar festival yang menampilkan perbezaan saban tahun kerana ‘perubahan wajah’ di tapak kekal Anjung Floria kini menjadi kenyataan.

“Tapak kekal ini pastinya mencuri perhatian anda dengan Taman Persahabatan China-Malaysia, Taman Fantasi, Bustan Inggeris dan Taman Pinwheel,” katanya.

Taman diraja tahun ini pula menampilkan suasana Taman Diraja Negeri Sembilan dilengkapi dengan replika Istana Seri Menanti dan tandu.

Haslina berkata, pihaknya menyasarkan sejuta pengunjung kali ini dengan begitu banyak pembaharuan, tarikan dan inovasi yang diperkenalkan.

“Pembabitan 50 peserta antarabangsa terdiri daripada pereka flora, dan arkitek landskap dari 24 negara.

“Ia sedikit sebanyak membawa masuk pelancong bukan saja dari negara terbabit, malah seluruh dunia,” katanya.

Di samping itu, lebih 300 aktiviti harian seperti ceramah dan bengkel perkebunan serta persembahan hiburan, kesenian dan kebudayaan serta pameran taman dapat dimanfaatkan pengunjung.

Justeru lapangkan waktu anda untuk mengunjungi FLORIA Diraja Putrajaya 2015) yang dibuka kepada umum 9pagi hingga 10.30 malam ­(Isnin hingga Khamis), 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Layari www.putrajaya.gov.my atau www.floriaputrajaya.com.my atau Facebook putrajayafloria untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:19 AM