LEBIH 500 warga asing diperiksa di Kompleks Bukit Jambul. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
LEBIH 500 warga asing diperiksa di Kompleks Bukit Jambul. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Lebih 500 warga asing diperiksa dalam Ops Ikrar dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) negeri di Kompleks Bukit Jambul di sini, petang tadi.

Dalam operasi yang dijalankan 5 petang itu, sepasukan 103 pegawai dan anggota terdiri daripada JIM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat pemeriksaan rambang di situ bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Meor Hazbullah Meor Abd Malik berkata, operasi itu tertumpu ke atas warga asing yang tinggal di negeri ini dan sering memenuhi kawasan sekitar Jalan Rumbia, Bukit Jambul.

Katanya, mereka yang diperiksa terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Nepal, Myanmar dan India.

Hadir sama, Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri, Abdul Rahman Hassan.

Jumlah mereka yang ditahan kerana kesalahan di bawah Akta Imigresen belum diperoleh ekoran operasi yang masih berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 November 2015 @ 6:58 PM