PETE selepas menjalani pembedahan plastik bagi membetulkan pipinya. FOTO Agensi
PETE selepas menjalani pembedahan plastik bagi membetulkan pipinya. FOTO Agensi
Agensi

Birmingham: Seorang pesara di United Kingdom hidup terseksa selepas tidak boleh menutup matanya sejak tiga tahun lalu akibat pembedahan plastik yang gagal.

Pete Broadhurst, 79, Four Oaks mengeluarkan kos 11,000 Pound Sterling (RM62,422.76) untuk menjalani pembedahan plastik bagi membetulkan pipinya yang membengkak.

Katanya, pipinya membengkak selepas menjalani terapi oklusi sejak 1959 untuk menyelesaikan masalah gigi.

"Selepas dua kali kecewa dengan wanita, saya memutuskan untuk membuat prosedur itu kerana keadaan penampilan saya menakutkan.

"Saya memilih menjalani prosedur sembilan jam itu di Hospital BMI The Priory bagi mengecilkan saiz pipi saya," katanya.

Namun, selepas pembedahan itu, Pete berkata, dia mengalami kesukaran apabila mata kirinya tidak dapat ditutup.

"Setiap malam hendak tidur, saya terpaksa menggunakan pita pelekat untuk menutup mata, selain terpaksa meletakkan ubat titis mata lapan kali sehari bagi mengelak (mata) menjadi kering.

"Saya juga muntah dan tidak boleh membuang air kecil, tetapi saya ingatkan ini cuma kesan biasa selepas pembedahan," katanya seperti dilaporkan portal The Sun.

Katanya, dia menjalani pemeriksaan rutin prostat di Hospital Good Hope pada 23 Mac 2019 dan doktor merujuk kepada Pusat Mata Birmingham dan Midland selepas mendapati matanya bermasalah.

"Doktor memberitahu saya ini adalah komplikasi biasa pembedahan kelopak mata yang dipanggil ectropion.

"Namun, saya dirujuk kembali ke Hospital BMI pada 13 Mei 2019 bagi menjalani pembedahan percuma cantuman kulit untuk membantu kulit di pipi bertemu kelopak mata," katanya.

Menurutnya, kini selepas dua tahun, dia masih tidak boleh menutup matanya, malah penglihatannya juga semakin kabur.

"Saya tidak dapat melihat dan pada waktu malam saya masih perlu menutup mata guna pita pelekat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 6:30 AM