Pergerakan bot di Kampung Palas Merah yang menjadi pengangkutan utama penduduk pada musim banjir. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Pergerakan bot di Kampung Palas Merah yang menjadi pengangkutan utama penduduk pada musim banjir. FOTO SITI ROHANA IDRIS
BERNAMA

Tumpat: Limpahan air Sungai Golok ke 10 kampung di jajahan Tumpat turut menukar mod pengangkutan penduduk setempat apabila bot menjadi kenderaan rasmi mereka untuk urusan harian.

Antara 10 kampung terbabit adalah Kampung Kajang Sebidang, Palas, Bendang Pak Yong, Kubang Sawa, Chenerong Siam dan Kuala Jambu.

Penduduk Kampung Kajang Sebidang, Shapawi kamarrudin, 45, berkata bot menjadi pilihan penduduk berikutan hampir kesemua jalan utama yang menghubungkan 10 kampung itu ditenggelami air separas satu meter.

"Apabila air Sungai Golok dan aliran air banjir mula memasuki kampung, semua kenderaan akan dibawa keluar ke tempat yang lebih tinggi kira-kira lima kilometer dari penempatan ini.

"Kawasan di sini akan turut bertukar menjadi seakan pulau dalam tempoh satu atau dua minggu kerana air banjir ini akan bertakung sebelum mengalir ke laut," katanya di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata penduduk di 10 kampung terbabit mempunyai sebuah bot bagi memudahkan mereka untuk melakukan urusan harian selepas motosikal dan kereta tidak boleh digunakan.

Penduduk dari Kampung Kuala Jambu Ramli Yunus, 48, berkata penggunaan bot semakin meningkat sejak petang semalam selepas air Sungai Golok memasuki kawasan itu.

"Kami terpaksa meredah air banjir sejauh tiga hingga lima kilometer untuk sampai ke daratan sebelum menggunakan kenderaan masing-masing yang dibawa keluar lebih awal.

"Suasana ini sudah menjadi kebiasaan kepada kami hampir setiap tahun pada musim tengkujuh. Ada penduduk kampung yang menggunakan bot persendirian dan bot tambang," katanya.

Sementara itu penduduk dari Kubang Sawa Mohd Asri Ismail, 31, berkata permintaan terhadap penggunaan bot tambang turut memberi pendapatan sampingan kepadanya.

Beliau berkata kebiasaannya permintaan terhadap perkhidmatan bot tambang akan berlaku dalam tempoh satu atau dua minggu.

"Saya kenakan caj RM3 satu perjalanan, sehari boleh raih lebih RM200 tawar khidmat bot tambang bermula 6.30 pagi sehingga 8 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 11:17 AM