GAMBAR tular SUV yang bakal digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan Terengganu.
GAMBAR tular SUV yang bakal digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan Terengganu.
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Pembelian 10 kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi menggantikan kenderaan rasmi kerajaan negeri mampu menjimatkan kos penyelenggaraan kenderaan lama.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal berkata, pembelian itu juga diluluskan di bawah belanjawan negeri pada tahun lalu.

"Setakat ini, SUV yang dibeli pada Mei lalu belum lagi diagihkan, termasuk kepada Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco).

"Pembelian kenderaan ini tidak perlu dipolitikkan kerana ia diluluskan melalui bajet tahun lalu," katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke Bilik Gerakan Bencana negeri (BGBN), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata, pembeliannya juga tidak menyalahi mana-mana peraturan, selain diluluskan bersama kenderaan pacuan empat roda Jabatan Perhutanan negeri.

"Tetapi pembelian itu (kenderaan Jabatan Perhutanan) tidak pula dipertikaikan termasuk oleh pemimpin politik.

"Sudah menjadi kebiasaan kerajaan negeri untuk menyediakan kenderaan baharu kepada ketua jabatan termasuk Exco kerajaan negeri.

"Ketika kerajaan negeri terdahulu, berlakunya pembelian kenderaan rasmi baharu bagi menggantikan kenderaan lama bagi menjimatkan kos penyelenggaraan," katanya.

Isu pembelian SUV itu mendapat perhatian selepas tular di media sosial dan didakwa untuk kegunaan rasmi Menteri Besar dan barisan Exco.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 3:02 PM