Nurul Fatihah Sulaini

Setiu: Pulau Tenggol dan Pulau Bidong akan diwartakan sebagai Taman Negeri Marin Terengganu, tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, ia akan diletakkan di bawah pengurusan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) yang bertanggungjawab mengurus serta mengawal selia semua taman negeri.

"In shaa Allah tahun ini akan bertambah dua lagi taman negeri," katanya yang ditemui pada sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia Tahun 2023 Taman Negeri Setiu Wetlands di Jeti Kampung Gong Batu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah MPTN, Tengku Mohd Arifin Tengku A Rahman.

Menurutnya, penambahan dua taman negeri itu akan meningkatkan lagi jumlah keluasan kawasan yang dilindungi.

Dalam pada itu, Tengku Farok Hussin berkata, 10 ekosistem sekitar Setiu Wetlands perlu dipelihara bagi kelangsungan manfaat komuniti serta menstabilkan perubahan iklim.

Katanya, kawasan tanah bencah pula mempunyai nilai yang tinggi sekiranya dipelopori secara berkesan dan berterusan, dengan aktiviti komersial bersesuaian adalah penternakan lebah madu, pembuatan tikar, penternakan tiram, ketam nipah, lokan serta ekopelancongan.

TENGKU Farok Hussin  (tiga, kanan) menyampaikan replika permit menjalankan aktiviti di tanah bencah pada Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia Tahun 2023 Taman Negeri Setiu Wetlands, di Jeti Kampung Gong Batu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
TENGKU Farok Hussin (tiga, kanan) menyampaikan replika permit menjalankan aktiviti di tanah bencah pada Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia Tahun 2023 Taman Negeri Setiu Wetlands, di Jeti Kampung Gong Batu. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 5:35 PM