SEBUAH kereta Mercedes Benz yang sudah dibeli dari beberapa buah kereta yang sudah ditempah untuk kegunaan rasmi pegawai tinggi kerajaan di Kompleks Kota Darul Naim. FOTO NSTP
SEBUAH kereta Mercedes Benz yang sudah dibeli dari beberapa buah kereta yang sudah ditempah untuk kegunaan rasmi pegawai tinggi kerajaan di Kompleks Kota Darul Naim. FOTO NSTP
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim


TINDAKAN kerajaan Kelantan membeli 14 kereta Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi, bukan saja melukakan perasaan rakyat.

Sebaliknya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, ia menunjukkan sikap hipokrit pemimpin di negeri itu.

Menurutnya, pemimpin di negeri itu perlu segan pada diri sendiri kerana tidak mengamalkan gaya hidup sederhana seperti dalam ajaran Islam yang sering diuar-uarkan.

“Dengan cara kemewahan yang ditunjukkan ini (pembelian Mercedes Benz), sudah tentu melukai perasaan rakyat miskin kerana segala keperluan hidup mereka belum mencukupi dan peruntukkan kerajaan harus mengutamakan kebajikan rakyat.

“Malah, kenyataan pemimpin Kelantan dalam hal pembelian kereta juga tidak telus, kononnya ada diskaun 50 peratus.

“Sedangkan diskaun ini terpakai kepada kereta lain juga. Sekiranya beli kereta lebih murah dan diskaun yang diperoleh, sudah tentu perbelanjaan lebih kecil,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Husam berkata, ia menunjukkan sikap hipokrit pemimpin kerajaan negeri.

“Saya melihat amalan di Kelantan selepas habis penggal, kereta ini akan menjadi milik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) berkenaan.

“Pada pendapat saya, ini persiapan mereka memiliki kereta mewah selepas penggal kerajaan sekarang ini tamat,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri Kelantan mengakui membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan EXCO.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik berkata, pembelian kenderaan itu dilakukan sejak 2018 hingga tahun lalu dengan yang terakhir untuk beliau sendiri dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau dilaporkan berkata, pembelian kenderaan rasmi itu tiada kaitan langsung dengan peruntukan khas sebanyak RM400 juta oleh Kerajaan Pusat, sebaliknya menggunakan duit kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:01 AM